KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng mengaitkan MCA dengan Pas mengenai isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dibidas.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, Lip Eng seharusnya melihat cermin sebelum menuduh MCA dan Pas bersenkongkol memperalatkan isu perkauman demi kepentingan politik masing-masing.
“Cermin diri, jangan hipokrit! Sebelum nak menuduh MCA dan Pas telah lama bersekongkol memperalatkan isu perkauman demi kepentingan politik masing-masing, sila bercakap depan cermin. Kalau rumah tak ada cermin, saya hadiahkan.
“Saya ingin bertanya, apakah asas kepada kenyataan bodoh yang dilemparkan oleh Lip Eng terhadap MCA? Dia ini masih mentaliti pembangkang dan tak berakal” tegasnya.
Choo Seong berkata, Lip Eng seolah-olah hilang ingatan kerana tidak menyedari DAP turut menggunakan isu kaum dan agama untuk kepentingan politik dalam ceramah dan kempen.
“Tengoklah berapa banyak video yang menunjukkan ahli-ahli DAP berucap dengan kata-kata provokasi, menyentuh isu kaum dan agama?
“Siapa yang kata kerjasama UMNO-Pas seperti Taliban? Siapa kata ia seolah-olah isytihar perang terhadap bukan Islam? Siapa kata “guna Melayu untuk screw Melayu”?
“Hanya kerana Pas tidak menghentam MCA yang mencadangkan agar pilihan raya pihak berkuasa tempatan di Kuala Lumpur diperkenalkan semula, itu bukti kami bersekongkol memperalatkan isu perkauman?” soalnya.
Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Kepong dilaporkan membidas Pas kerana didakwa tidak mengkritik kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang mencadangkan pengenalan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan di Kuala Lumpur.
Katanya, jika benar Pas berpegang teguh pada prinsip menolak pilihan raya PBT, mengapa mereka tidak menyerang MCA sebagaimana mereka menyerang DAP?
“Atau adakah ‘prinsip’ Pas ini sebenarnya tidak wujud dan mereka hanya menyalak apabila ia memberi keuntungan politik?” soalnya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette