BATU PAHAT – Sekolah Digital perlu diperluaskan lagi bagi mempercepatkan adaptasi pendigitalan dalam ekosistem pendidikan negara.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, usaha itu disokong dengan pencapaian lebih 90 peratus akses Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) oleh golongan pendidik di seluruh negara.
“Kita memang ada cadangan untuk memastikan semua sekolah di Malaysia melaksanakan pendigitalan selaras dengan dasar pendidikan digital negara. Ia bergantung kepada kekuatan sekolah tersebut.
“Jika sesebuah sekolah mencapai tahap 80 peratus, maka kita akan sokong pencapaian itu. Begitu juga dengan kadar pencapaian lain,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Peluncuran Sekolah Digital (Santuni Madani) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Telok di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Ali@Zainalabidin Syed Mohamed.
Mengulas lanjut, Azman memaklumkan, setakat ini, enam sekolah di seluruh negara telah dipilih sebagai sekolah rintis bagi Sekolah Digital.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan memastikan kualiti pendidikan dipertingkatkan seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
“Projek rintis Sekolah Digital anjuran Yayasan Didik Negara (YDN) dilaksanakan di lima sekolah terpilih di Sabah iaitu SK Lapasan, Pengalat Kecil, Buang, Tansau dan Pekan Putatan, serta satu sekolah di Johor iaitu SK Seri Telok di Parit Yaani,” ujarnya.
SK Pulau Aman di Pulau Pinang katanya, turut dicadangkan sebagai Sekolah Digital seperti disarankan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, ketika melawat sekolah itu pada November tahun lalu.
“Bagaimanapun, kejayaan pelaksanaan pendidikan digital memerlukan perancangan teliti, sumber mencukupi serta pembangunan profesional berterusan untuk golongan pendidik,” jelasnya.- MalaysiaGazette