KULAI – Sesi sekolah agama di Johor akan ditamatkan lebih awal pada pukul 6 petang sepanjang Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, langkah terbabit bertujuan memastikan murid dapat menunaikan ibadat dalam bulan puasa dengan selesa.
“Secara umum, sesi persekolahan petang bagi sekolah agama di negeri ini akan tamat lebih awal, sekitar pukul 6 petang berbanding hari biasa pada pukul 6.30 petang.
“Langkah ini diambil sebagai usaha memastikan kebajikan pelajar dan guru terjaga, selain memberi mereka masa mencukupi untuk menunaikan solat Maghrib dan menjalankan ibadah lain seperti solat tarawih,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA), Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) dan Sijil Menengah Agama (SMA) bagi tahun 2024 di Sekolah Agama Bandar Putra Kulai hari ini.
Sementara itu, Mohd Fared memberitahu, keputusan peperiksaan SDEA, SMRA, dan Sijil SMA pada tahun lalu menunjukkan peningkatan prestasi, sekali gus mencerminkan usaha berterusan dalam memperkasakan pendidikan agama di negeri ini.
Daerah Pontian muncul sebagai daerah terbaik dengan GPS 2.21, manakala Sekolah Agama Bandar Putra, Kulai diiktiraf sebagai sekolah terbaik dengan pencapaian GPS 2.14.
Selain itu, Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor diumumkan sebagai sekolah terbaik dengan GPS 1.49.- MalaysiaGazette