KAJANG – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menganjurkan Seminar Peradaban Islam dan Ketamadunan Malaysia (SPIKEM) di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Kajang, hari ini.
Yang Dipertua Yadim, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, program itu bertujuan untuk menitikberatkan interaksi dengan pelbagai institusi pengajian tinggi di seluruh negara dalam usaha memupuk daya cipta dan inovasi.
“Kami akan sentiasa berinteraksi dengan universiti tempatan bagi menekankan keunikan pendekatan yang memberi tumpuan khusus kepada pemupukan kreativiti.
“SPIKEM kali ini telah memasuki siri ke-13 daripada 25 siri dan selain menekankan kreativiti, ia juga merupakan usaha menimbulkan kesedaran terhadap tanggungjawab memahami erti tamadun yang ingin dibina oleh negara,” katanya kepada ditemui media, di sini, hari ini.
Menurut Hasanuddin, SPIKEM akan memberi kesedaran kepada para pendidik tentang hala tuju pelajar dalam penyelidikan dan agar graduan sedar bahawa setiap peranan yang mereka mainkan dalam pekerjaan merupakan tanggungjawab kepada negara.
“Kita ambil kesempatan memberikan penerangan yang seimbang supaya mesej yang disampaikan dapat difahami dengan jelas,” jelasnya.
Tambahan pula, setelah beberapa institusi pengajian tinggi dijelajahi, proses pengumpulan maklum balas daripada mahasiswa termasuk melalui rakan siswa Yadim (RSY) yang dijalankan secara berterusan.
Proses ini memastikan setiap aspek program sentiasa diperbaiki, terutama daripada segi penggunaan bahasa dan cara penyampaian, agar objektif dakwah dan pembinaan tamadun dapat sampai ke sasaran dengan berkesan.
Acara bertemakan ‘Daya Cipta Unggul Pemacu Peradaban Masyarakat Madani’ ini dihadiri 450 peserta yang terdiri daripada mahasiswa, pensyarah dan kakitangan.
Dengan pendekatan holistik dan berterusan ini, Yadim berharap agar inisiatif ini dapat memperkukuh integrasi nilai Rukun Madani dalam kalangan akademik dan belia.
Usaha ini diharapkan akan melahirkan generasi yang kreatif, kritis dan sedar akan tanggungjawab mereka dalam menyumbang kepada pembangunan tamadun negara serta memacu agenda Malaysia Madani ke hadapan. – MalaysiaGazette