Syerleena Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas  memperkasakan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan syarikat subsidiari kerajaan.

Ini selepas Laporan Ketua Audit Negara 2025 mendedahkan kerugian sebanyak RM2.66 bilion dalam kalangan 40 syarikat di bawah lima agensi Persekutuan.

Daripada jumlah tersebut, 21 syarikat subsidiari di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengalami kerugian tertinggi berjumlah RM0.94 bilion.

Menurut Syerleena, angka itu menimbulkan persoalan besar tentang keberkesanan pemantauan kewangan kerajaan serta kesan kerugian tersebut terhadap dana awam yang sepatutnya dimanfaatkan oleh rakyat.

“Saya tidak berdiri di sini untuk tuding jari pada mana-mana pihak tetapi menuntut kerajaan memastikan sumber negara diurus dengan penuh integriti.

“Bagaimana rasionalisasi subsidi yang sedang dikenakan ke atas rakyat sedangkan agensi kerajaan yang mengalami kerugian masih terus menerima dana tanpa pemantauan ketat.

“Sebagai contoh, bagaimana subsidi bahan api, bantuan makanan dan perkhidmatan awam sedang dikaji untuk langkah penjimatan tapi masa sama, syarikat subsidiari kerajaan yang gagal masih mendapat suntikan kewangan,” bahasnya berkaitan tadbir urus telus dan akauntibiliti di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, situasi itu menimbulkan ketidakadilan kepada rakyat terutama golongan yang terjejas akibat pengurangan subsidi.

Syerleena juga bersetuju langkah rasionalisasi subsidi terhadap rakyat perlu diseimbangkan dengan menghentikan pembaziran dalam agensi kerajaan yang mencatat kerugian besar.

Katanya, walaupun sedar peranan penting syarikat subsidiari kerajaan dalam pembangunan ekonomi dan perkhidmatan awam, beliau menegaskan, dana tidak sepatutnya terus disalurkan kepada entiti yang gagal tanpa akauntabiliti.

Syerleena menegaskan, nilai RM2.66 bilion yang rugi itu adalah jumlah yang amat besar dan boleh digunakan untuk membiayai sekolah, hospital atau projek infrastruktur luar bandar yang lebih bermanfaat kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan untuk melaksanakan kajian menyeluruh terhadap prestasi syarikat subsidiari kerajaan bagi mengenal pasti mana yang masih relevan dan perlu dihentikan.

“Kerajaan perlu memperketatkan pemantauan kewangan agar setiap dana yang diperuntukkan benar-benar memberi impak positif kepada ekonomi dan rakyat.

“Langkah penjimatan tidak boleh hanya tertumpu kepada pemotongan subsidi rakyat tetapi juga harus merangkumi agensi kerajaan yang terbukti tidak efisien dalam menguruskan kewangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here