KLUANG – Seorang warga emas berputih mata selepas rugi RM562,000 akibat tertarik dengan keuntungan besar dalam pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan dalam Facebook.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian bermula selepas lelaki berusia 80 tahun itu terbaca iklan pelaburan saham atas nama Koon Yee Yin Value Investment dalam Facebook pada September tahun lalu.
“Mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp dan dijanjikan akan mendapatkan pulangan lumayan serta kenaikkan harga saham sebelum diarahkan mendaftarkan dalam pautan diberikan iaitu automentcap.com/mobile/en-us/m.html#
“Bermula bulan September 2024 hingga awal Februari tahun ini, mangsa telah membuat tiga transaksi ke dalam tiga akaun berbeza berjumlah RM562,000.
“Bagaimana pun sehingga hari ini mangsa tidak mendapat sebarang pulangan apabila individu yang berurusan dengannya gagal dihubungi malah pautan diberikan juga tidak dapat diakses,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Bahrin berkata, laporan polis yang dilakukan oleh mangsa pada hari ini akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat atau dengan denda.
“Orang ramai adalah diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan janji pulangan lumayan dan perlu menyemak terlebih dahulu dengan pihak-pihak berkaitan,” katanya.- MalaysiaGazette