KUALA LUMPUR – Teraju Usahawan Johor mengumumkan kerjasama strategik dengan dua buah syarikat bumiputera yang iaitu Mr Noh Food Industries (M) Sdn. Bhd. melalui jenama Otak-Otak Mr Noh dan juga Mak Besar Singapura.
Presidennya, Datuk Ismail Karim berkata, melalui kerjasama tersebut, ia akan dapat membantu usahawan tempatan memperluaskan rangkaian perniagaannya ke luar negara dan dimulakan di negara jiran seterusnya ke peringkat antarabangsa.
“Inisiatif ini akan meningkatkan lagi daya saing produk tempatan di pasaran luar. Kami sentiasa komited dalam memberikan sokongan berterusan kepada usahawan tempatan melalui pelbagai program dan kerjasama strategik bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam kalangan usahawan negeri Johor,” katanya dalam kenyataan sempena mesyuarat yang diadakan antara Teraju dengan Persatuan Usahawan Johor Bahru (PUJB).
Jelas beliau, melalui sokongan PUJB, kami yakin jenama ini bukan sahaja dapat menembusi pasaran yang lebih luas, tetapi juga menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan Johor untuk maju ke hadapan.
“Selepas pertemuan ini, kami akan memperkukuhkan strategi pemasaran dengan lebih agresif, termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, memperluaskan jaringan peruncitan, serta memperkenalkan inisiatif francais bagi membuka lebih banyak peluang kepada usahawan Johor.
“Kami juga akan memanfaatkan platform digital dan e-dagang untuk memastikan Otak-Otak Mr. Noh terus menjadi pilihan utama bukan sahaja di Malaysia dan Singapura tetapi juga di pasaran antarabangsa.
“Dengan adanya sokongan daripada kerajaan negeri, kami yakin usahawan Johor dapat terus maju dan membawa nama Johor ke peringkat global,” katanya.
Mohammad Qashrie turut merakam penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Exco Usahawan Johor, Mohd. Hairi Md Shah atas komitmen mereka memperkasakan usahawan Johor menerusi Belanjawan Johor 2025. – MalaysiaGazette