Syed Hamadah menyaksikan pemeteraian perjanjian yang ditandatangani oleh Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun bersama Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menandatangani Perjanjian Penerbangan Haji selama lima tahun bersama Malaysia Airlines Berhad (MAB) bagi menyediakan perkhidmatan penerbangan carter haji bermula musim haji 1446H sehingga 1450H (2025-2029).

Perkhidmatan penerbangan carter haji itu akan diuruskan oleh penyedia penerbangan umrah dan haji, Amal by Malaysia Airlines.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, kerjasama berkenaan diteruskan berdasarkan  prestasi cemerlang syarikat penerbangan tersebut memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji negara.

“Kecekapan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Amal by Malaysia Airlines dalam memastikan perjalanan haji berjalan lancar serta perhatian teliti yang diberikan terhadap keselesaan dan kesejahteraan jemaah haji negara menjadi pendorong utama pemilihan Amal by Malaysia Airlines sebagai penyedia
penerbangan sewa khas haji,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, syarikat itu mencatat prestasi cemerlang kira-kira 98 peratus pada musim haji tahun lepas.

Terdahulu, Syed Hamadah menyaksikan pemeteraian perjanjian yang ditandatangani oleh Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun bersama Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor berkata, pihaknya kekal komited dalam menyediakan perkhidmatan penerbangan yang selamat dan lancar bagi memastikan para jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna.

Sebagai rekod, penerbangan pertama ke Tanah Suci bermula dari 29 April hingga 20 Mei 2025 manakala penerbangan pulang dari Tanah suci bermula dari 14 Jun hingga 10 Julai 2025.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here