KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bertitah semua pihak perlu menghormati proses undang-undang yang ditetapkan berkaitan dengan titah adendum.
Baginda bertitah, jangan ada pihak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik mengenainya.
Sultan Pahang bertitah perkara berkenan adalah berada dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.
”Saya menyeru kepada semua, supaya berpegang teguh kepada nilai kejujuran, amanah, saling menghormati dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu perkara,” titahnya.
Sultan Pahang bertitah demikian selepas keberangkatannya ke Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri di Kuantan di sini malam ini.
Baginda juga bertitah keberangkatannya baginda ke program berkenaan untuk menunaikan solat jemaah bersama rakyat di masjid berkenaan.
”Kehadiran saya semata-mata kita ramai-ramai hadir satu malam untuk kita sembahyang bersama-sama. Itu sahaja, saya dapat rasa dan terharu dan terpanggil untuk beri ucapan ringkas.
”Ramai yang meminta saya hadir. Atas dasar itu saya hadir dengan hati untuk bersama-sama menunaikan sembahyang dan tahlil.
”Saya tidak mahu kehadiran saya ini dipolitikkan kerana ini tidak akan memberi satu gambaran dan satu naratif yang baik kepada institusi diraja,” titah baginda.
Pada majlis itu, lebih 5,000 orang hadir.
Keberangkatan baginda diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Al-Sultan Abdullah berangkat tiba pada pukul 7.10 malam sebelum menunaikan solat Maghrib, solat sunat hajat, membaca Yasin dan kemudiannya menunaikan solat Isyak selepas menyampaikan titah.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob.
Sultan Pahang bertitah, sebagai pemerintah negeri Pahang, baginda akan sentiasa bersama rakyat jelata.
”Saya datang semata-mata untuk bermunajat menyembah kepada Allah SWT. Berdoa supaya kita di negeri Pahang dan rakyat negeri ini agar sentiasa diberkati Allah dan sentiasa lindungan dan yang lebih penting dirahmati oleh Allah SWT.
”Saya sebagai Sultan Pahang akan sentiasa bersama-sama rakyat. Akan sentiasa mendampingi rakyat tanpa mengira sesiapa sahaja,” titahnya. – MalaysiaGazette