KUALA LUMPUR – Datuk Seri Takiyuddin Hassan diminta menghantar surat sama ada mahu berbincang atau memberikan maklumbalas berkaitan peruntukan pembangkang sebelum satu jawatankuasa berkaitan peruntukan kewangan pembangkang ditubuhkan.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu berkata, jawatankuasa itu hanya akan ditubuhkan selepas pihaknya menghantar surat permohonan.
“Saya berkomunikasi dengan Timbalan Perdana Menteri II dengan pengetahuan Ketua Pembangkang, beliau maklum pada saya sila masukkan surat permohonan, tidak kisahlah surat perbincangan, surat untuk beri pandangan ke atau maklumbalas. Selepas itulah katanya akan tubuh jawatankuasa. Itu jelas.
“Saya sendiri menghantar mesej kepada beliau mengenai kenyataan beliau akan tubuh jawatankuasa perundingan. Betul ke macam ini?
“You (anda) masuk surat dulu nanti I (saya) tubuh jawatankuasa’, jadi ini bersyarat. Media boleh tanya dia (Fadilah) balik,” katanya kepada media di Parlimen, hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi membincangkan sebarang cadangan berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu memberitahu, beliau mempunyai bukti dan fakta berkaitan percakapannya dengan Fadilah berhubung perkara ini.
“Saya seorang peguam, tidak akan sesekali bercakap tanpa fakta. Kalau ada peruntukan, hantar surat untuk berunding atau beri maklum balas terlebih dulu. Kita akan bincang dulu itu kata Timbalan Perdana Menteri,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya bersetuju untuk menghantar surat seperti yang dipinta oleh kerajaan sebelum jawatankuasa itu ditubuhkan.
“Langkah seterusnya kita akan tulis surat, kami bersetuju untuk jawatankuasa itu,” jelasnya. – MalaysiaGazette