KUALA LUMPUR- Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneruskan komitmen memperkasakan pendidikan dan kesihatan masyarakat Orang Asli melalui program Harmoni Satu Bumi: Kampung Orang Asli Dayok, Pos Lejang, Pahang baru-baru ini.

Program tersebut mendapat kerjasama daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Cameron Highlands disertai 300 penduduk Orang Asli dari pelbagai kampung sekitar Pos Lenjang, 36 pelajar KTSN, pegawai dan kakitangan Pusat Ahli Khidmat Cameron Highlands.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Dr. Ramli Mohd Nor yang merasmikan program itu menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan menggalakkan agar program seumpama ini diteruskan pada masa hadapan.

Beliau turut menekankan kepada penduduk akan kepentingan memanfaatkan peluang tersebut bagi meningkatkan kemahiran insaniah dan memperoleh pengalaman baharu dalam kalangan pelajar.

“Pengalaman berinteraksi secara langsung dengan masyarakat Orang Asli membantu pelajar memahami realiti kehidupan komuniti luar bandar serta cabaran yang dihadapi dalam aspek pendidikan dan kesihatan.

“Dengan adanya program seperti ini, pelajar dapat menanam sifat empati dan kesedaran sosial yang tinggi, seterusnya menjadikan mereka individu yang lebih bertanggungjawab dan bersedia menyumbang kepada masyarakat pada masa hadapan,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Sementara itu, Pengetua KTSN,  Prof. Madya Dr. Mohd Razif Shahril berkata program itu bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah mahasiswa.

“Penglibatan pelajar daripada pelbagai latar belakang kaum menunjukkan semangat perpaduan dan keprihatinan terhadap masyarakat.

“Mereka bukan sahaja berpeluang mengaplikasikan ilmu yang dipelajari, malah dapat mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan serta kerja berpasukan dalam suasana yang berbeza daripada persekitaran akademik biasa,” katanya.

Program Harmoni Satu Bumi merupakan inisiatif pelajar KTSN UKM yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kesihatan dan pendidikan dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Selain itu, program ini turut menjadi platform bagi pelajar universiti membangunkan kemahiran insaniah melalui interaksi langsung dengan komuniti setempat.

Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk Kempen Gosok Gigi, 1 Rumah 1 Kelambu dan Perpustakaan Mini, yang bertujuan memberi akses lebih baik kepada kesihatan dan pendidikan bagi masyarakat Orang Asli.

Inisiatif ini juga selari dengan tema program, Mahasiswa Prihatin, Masyarakat Terjamin, yang menekankan kepentingan peranan mahasiswa dalam usaha pembangunan komuniti.

Program ini mencerminkan usaha berterusan UKM dalam memastikan masyarakat Orang Asli agar tidak terpinggir daripada pembangunan pendidikan dan kesihatan, sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah prihatin terhadap masyarakat.

Program Harmoni Satu Bumi: Kampung Orang Asli Dayok, Pos Lenjang ini diharapkan dapat menjadi contoh kepada inisiatif lain yang menyokong pembangunan komuniti serta mengukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan masyarakat.

Turut hadir ke majlis perasmian ialah Pegawai Penyelaras Hal Ehwal Orang Asli, Mohd Asri  Mohd Nafi dan Tok Batin Kampung Orang Asli Dayok Pos Lenjang, Kamal a/l Bah Lepin. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast