KUALA LUMPUR – Seramai lebih 170 pakar pelbagai latar belakang dihimpunkan dalam mesyuarat Kumpulan Kerja pertama yang diadakan oleh Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), hari ini.
Kementerian Digital berkata, mesyuarat berkenaan merupakan usaha kolektif memacu kecerdasan buatan (AI) seiring dengan komitmen kerajaan untuk menjadi peneraju dalam industri tersebut.
Katanya, pakar-pakar yang berhimpun menerusi kumpulan tertentu dalam mesyuarat tersebut memainkan peranan masing-masing dalam membentuk strategi AI nasional, Pelan Tindakan AI, rangka kerja peraturan, dan model tadbir urus industri berkenaan.
“Perhimpunan ini menampilkan veteran industri, perunding berpengalaman, penyelidik terkemuka, dan ahli profesional, memastikan pendekatan holistik dan pelbagai aspek terhadap pembangunan AI.
“Platform kolaboratif ini memperjuangkan inklusiviti dan kepakaran, memastikan strategi AI diterjemahkan kepada penyelesaian nyata yang mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap AI global,” kata kementerian itu menerusi kenyataan.
Menurut kementerian itu, sebanyak tujuh Kumpulan Kerja NAIO menetapkan hala tuju strategik masing-masing dalam menentukan objektif yang jelas mengenai AI.
Tujuh kumpulan berkenaan adalah Kedaulatan AI, Peraturan &
Dasar AI; Keselamatan AI; Tadbir Urus & Etika AI; Keselamatan AI; Bakat AI dan Penasihat AI.
“Setiap kumpulan dibentuk untuk menangani cabaran dan peluang khusus dalam agenda AI nasional, memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam era dipacu AI,” jelasnya.-MalaysiaGazette