Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap pada sidang media berkenaan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan jalan menghubungkan jalan Bukit Panchor ke Laluan Persekuturan 1, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 25 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 29 atau 3.62 peratus projek di bawah pemantauan Kementerian Kerja Raya (KKR) tahun ini diklasifikasikan sebagai projek sakit setakat ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jumlah itu adalah daripada keseluruhan 801 projek yang diuruskan KKR menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) ketika ini.

Menurut beliau, faktor utama yang dikenal pasti kelewatan projek itu adalah disebabkan kegagalan kontraktor yang dilantik dengan isu paling utama adalah kelemahan pengurusan dalaman.

Selain itu, ujarnya, kegagalan kontraktor yang dilantik juga disebabkan kelemahan daripada aspek penjadualan dan perancangan projek, berdepan dengan masalah aliran kewangan selain kelewatan pembekalan bahan sistem binaan berindustri (IBS).

“Kegagalan dari segi kontraktor yang dilantik ini menyumbang kepada 77 peratus kelewatan atau projek sakit.

“Selain itu, 20 peratus lagi projek sakit disebabkan isu teknikal dan kerumitan di tapak pembinaan seperti kelewatan pengambilan tanah, halangan di tapak bina serta masalah cuaca dan bencana.

“Selain itu, kelewatan projek juga berlaku disebabkan oleh tambahan atau perubahan skop pembinaan daripada pelanggan iaitu sebanyak tiga peratus,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Sakit dan Lewat Jadual Kementerian Pelanggan Bilangan 1 Tahun 2025, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu selaras dengan hala tuju KKR tahun ini dalam mensifarkan projek sakit dan memastikan kelancaran pengurusan projek-projek infrastruktur rakyat tanpa lanjutan masa (Extension of Time).

Sementara itu, ditanya berkenaan tindakan terhadap kontraktor yang bermasalah dalam 29 projek sakit, beliau berkata, pihaknya akan memberi sekurang-kurangnya tiga surat amaran terlebih dahulu kepada kontraktor terlibat.

Jelas beliau, sekiranya kontraktor terlibat masih gagal menangani isu yang dihadapi, mereka akan dibawa ke satu jawatankuasa khas dan mungkin boleh dikenakan notis tujuan penamatan.

Selain itu, katanya, terdapat juga kontraktor yang dikenakan denda kelewatan menyiapkan projek secara harian yang nilai kompaunnya bergantung kepada saiz projek.

“Daripada 29 projek sakit ini juga, ada dua ke tiga kontraktor yang akan kita berikan notis penamatan, sudah semestinya selepas itu kontraktor tersebut akan disenarai hitam,” katanya.

Jelas Ahmad, meskipun ketika ini terdapat 3.62 peratus projek sakit, namun pihaknya tetap yakin untuk mencapai sasaran sifar projek sakit sepanjang tahun ini sekiranya kontraktor yang dilantik dapat memperbaiki masalah dalaman syarikat masing-masing.

Sementara itu, ditanya sama ada kegagalan kontraktor dalam projek sakit tersebut juga disebabkan faktor kenaikan harga bahan-bahan binaan, Ahmad bagaimanapun menyangkal perkara tersebut dan menyifatkan ia tiada kaitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here