PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan junjung kasih Kerajaan terhadap titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar proses dan undang-undang berkaitan Titah Adendum dihormati.
Menteri Komunikasi Dan Digital Fahmi Fadzil berkata, ucapan terima kasih itu dizahirkan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Kabinet hari ini.
“PM telah merakamkan junjung kasih Kerajaan terhadap titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.
“Seperti yang kita sedia maklum tuanku telah bertitah supaya Titah Adendum yang sekarang di bawah proses undang-undang perlu dihormati dan titah tuanku meminta agar semua pihak tidak berterusan membahaskan soal titah adendum ini.
“Kerajaan menjunjung kasih titah tuanku dan insya-Allah dari segi pelaksanaan dan juga perkara-perkara berkaitan kerajaan akan teruskan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, beliau percaya semua pihak akan menghormati titah Al-Sultan Abdullah dan pihak kerajaan menyerahkan urusan berkaitan Titah Adendum kepada proses mahkamah
Ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar titah Al-Sultan Abdullah, Fahmi berkata, kerajaan tidak membincangkan perkara itu dalam Mesyuarat Kabinet hari ini.
Semalam Al-Sultan Abdullah bertitah agar semua pihak menghormati proses dan undang-undang yang telah ditetapkaan serta tidak menimbulkan sebarang kekeliruan berkaitan Titah Adendum.
Baginda bertitah, perkara itu berada di bawah bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.
“Saya juga menyeru semua pihak agar berpegang teguh kepada nilai kejujuran, amanah, saling menghormati dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu perkara.
“Dengan semangat ini, Insya-ALLAH negeri Pahang akan terus menjadi negeri yang harmoni dan sejahtera,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat bertempat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini pada Khamis.-MalaysiaGazette