Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali bercakap pada Program Bicara Persada Setahun KEB: Di Mana dan Ke Mana Bumiputeri di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Foto SADIQ SANI, 28 FEBRUARI 2025
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali bercakap pada Program Bicara Persada Setahun KEB: Di Mana dan Ke Mana Bumiputeri di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Foto SADIQ SANI, 28 FEBRUARI 2025

BANGI – Kerajaan digesa sentiasa menjadikan agenda Bumiputera sebagai fokus utama dalam memperkasakan kaum Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Malah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda-UKM), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata agenda itu harus sentiasa berada dekat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersandarkan kepada pelancaran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) tahun lalu.

“Agenda Bumiputera perlu sentiasa berada di meja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia mesti dekat dengan beliau.

“Ini adalah proses berterusan di mana semua pihak utamanya jemaah Menteri perlu terlibat sama. Saya percaya seorang individu tidak boleh laksanakan dan saya percaya kerajaan mahu buat dengan cara yang betul dan teratur.

“Kalau sudah (dilaksanakan agenda Bumiputera), tunjukkan hasilnya,” katanya yang menjadi ahli panel pada program anjuran Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda-UKM) berjudul KEB: Dimana dan Kemana Bumiputera?.

Program itu dihadiri Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Datuk Seri Ibrahim Ahmad.

Jelas beliau, kerajaan seharusnya bimbang dengan perkembangan terkini yang mendapati syarikat berkaitan Bumiputera masih ketinggalan daripada segi ekonomi dan antarabangsa.

“Berapa banyak syarikat Bumiputera yang telah pergi ke pasaran antarabangsa? Semua orang kena risau daripada Perdana Menteri sampailah ke bawah dan semua pemikir.

“Saya hanya boleh mengajak untuk teruskan agenda Bumiputera supaya satu hari akan datang Bumiputera berada dalam situasi baik. Saya ada data di mana Bimuputera semakin ketinggalan” katanya.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr Hasan Mad bercakap ketika ditemubual selepas hadir pada Program Bicara Persada Setahun KEB: Di Mana dan Ke Mana Bumiputeri di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Foto SADIQ SANI, 28 FEBRUARI 2025
Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr Hasan Mad bercakap ketika ditemubual selepas hadir pada Program Bicara Persada Setahun KEB: Di Mana dan Ke Mana Bumiputeri di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Foto SADIQ SANI, 28 FEBRUARI 2025

Tambah Dr Hasan, agenda Bumiputera tidak boleh dinafikan oleh mana-mana individu kerana ia jelas termaktub dalam Pelembagaan Persekutuan Perkara 153.

Malah katanya, agenda ini adalah pembukaan kepada semua yang termaktub dalam pelembagaan yang khusus kepada kaum Melayu.

“Semua orang yang mempertaikan perkara ini tidak boleh bahas, kalau dipertikaikan kena pinda Perkara 153 tapi adakah Parlimen dan Majlis Raja-raja akan bersetuju? Jika Parlimen setuju tapi Majlis Raja-raja tidak bersetuju tidak boleh juga sebab itu hak Majlis Raja-raja untuk putuskan,” katanya pada program sama.

Sementara itu, Noor Azlan berkata, KEB perlu menunjukkan niat dan hasrat yang jelas dalam memperkasa agenda Bumiputera, namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan pelaksanaannya bergerak lebih pantas dan berkesan.

Jelasnya, walaupun kerajaan telah menubuhkan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) dan Jawatankuasa Pemandu serta pelaksana membuktikan komitmen kerajaan, pelaksanaan inisiatif masih berada di peringkat awal.

“Saya suka kerana telah ada kongres, maksudnya ada niat dan hasrat. Saya suka dan bangga bila kerajaan menubuhkan Majlis Ekonomi Bumiputera dengan jawatankuasa pemandu dan pelaksana.

“Jadi niatnya sudah berada di situ cumanya kita tidak bolehlah kata tahun ini semuanya berjaya sebab kita baru setahun. Tetapi kita nak tengok pergerakan. Sedikit laporan yang saya dapat, seperti saya nyatakan tadi, inisiatif jangka pendek ada 83.

“Hanya lapan sedang berjalan dan 75 di peringkat awal. Sudah tentu kita tidak boleh putuskan bahawa kita gagal, tidak. Jangka pendek itu 2025-2026, bererti tahun depan, insya-Allah saya buat sekali lagi bicara bersama tadi.

“Kita tengok tahun depan, bererti sekarang kita kena lebih agresif, percepatkan balik agenda Bumiputera tersebut,” katanya.

Pada 7 Mac tahun lalu, kerajaan mengumumkan akan melancarkan pelan jangka panjang Bumiputera untuk tempoh 10 tahun akan datang yang lebih ‘segar dan inklusif’ pada Jun depan dalam usaha melonjakkan sosioekonomi Bumiputera menerusi pelbagai bidang dan sektor.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, input, cadangan dan pandangan hasil KEB 2024 akan dicerakinkan dan diterjemahkan ke dalam hala tuju baharu pemerkasaan Bumiputera ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here