Foto arkib MalaysiaGazette: Kes bunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain tiba untuk pendengaran rayuan akhir di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 18 FEBRUARI 2025

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim sebulat suara membenarkan rayuan akhir keenam-enamnya terhadap sabitan dan hukuman mati kerana membunuh Zulfarhan, lapan tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mengembalikan hukuman penjara 18 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi terhadap mereka.

Korum itu berpendapat, sabitan bagi kesalahan membunuh yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, tidak dapat dipertahankan.

Pada 23 Julai 2024, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap keenam-enamnya kerana membunuh Zulfarhan, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihadapi mereka sebelum ini.

Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap semua enam pelajar itu, selepas mendapati mereka bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuhnya.

Bekas pelajar tersebut, kini berusia 29 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi 22 Mei 2017.

Berita selanjutnya menyusul. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here