Lim Guan Eng.-Foto HAZROL ZAINAL, 25 SEPTEMBER 2022.

KAYALA LUMPUR – Veteran DAP, Teng Chang Khim menasihatkan agar menangguhkan sebarang usaha untuk menyingkirkan Lim Guan Eng dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada  pemilihan parti.

Bercakap kepada Malaysiakini, beliau menjelaskan bahawa dia tidak menentang penyingkiran Guan Eng tetapi percaya tindakan itu tidak harus dilakukan sekarang.

Hujahnya, generasi baru pemimpin DAP masih belum dapat mewujudkan kredibiliti dan rekod prestasi yang diperlukan untuk mengemudi landskap politik semasa.

“Kita perlu menilai keadaan. Walaupun mengeluarkannya (daripada kepimpinan pusat) mungkin menggembirakan secara emosi – kerana ia boleh berasa seperti satu bentuk dendam – perasaan sedemikian adalah peribadi. Kita mesti mempertimbangkan landskap politik yang lebih luas,” katanya semasa wawancara untuk podcast berbahasa Cina Malaysiakini pada Selasa.

“Tujuan pemilihan parti adalah untuk memilih pemimpin. Pasukan kepimpinan ini memasuki penggal kedua. Sekarang adalah masa untuk mengukuhkan kedudukan mereka,” katanya.

Chang Khim memberi amaran bahawa jika Guan Eng disingkirkan sekarang dan generasi akan datang gagal mendapat kepercayaan awam dalam tempoh tiga tahun, DAP berisiko kehilangan sokongan malah berdepan dengan kejatuhan.

Jelasnya, Guan Eng masih memainkan peranan penting dalam mengutarakan pendirian parti itu terutama melibatkan beberapa isu termasuk cadangan garis panduan antara agama untuk orang Islam yang menghadiri acara bukan Islam.

Tambah beliau, kerajaan yang menghadapi tekanan yang semakin meningkat daripada Pas dan “gelombang hijau”, sedang berhati-hati untuk mengelakkan pengundi Melayu dan Islam terasing.

“Apabila kebebasan dan gaya hidup orang bukan Islam terancam, nampaknya tiada pemimpin politik atau ahli parlimen yang bangkit menyatakan pendirian yang tegas,” katanya.

“Jika ‘Tokong’ (julukan yang diberi pada Guan Eng) dibuang, kekosongan akan terbentuk, dan ia tidak boleh diisi dalam jangka pendek. Ini akan melemahkan kedudukan parti dalam kerajaan,” katanya.

Chang Khim pertama kali menyuarakan pendirian supaya kedudukan Guan Eng dalam CEC dikekalkan dibuat semasa hantaran pada 23 Januari di X, mencetuskan spekulasi memandangkan sejarahnya menentang dominasi ‘keluarga Lim’ dalam kepimpinan parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here