Ibu bapa Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain hadir untuk pendengaran rayuan akhir di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 18 FEBRUARI 2025 (GAMBAR FAIL).

PUTRAJAYA – Enam banduan yang sedang menjalani hukuman penjara 18 tahun kerana menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, dijadual bebas pada 2029.

Peguam Datuk Seri M. Ramachelvam yang mewakili perayu keempat, Muhammad Afif Najmudin Azahat, 29, berkata, semua bekas penuntut UPNM itu hanya perlu menjalani baki hukuman penjara empat tahun lagi.

Menurut beliau, keenam-enam lelaki itu sepatutnya menjalani hukuman selama 18 tahun, namun tempoh itu dipendekkan kepada 12 tahun jika berkelakuan baik.

“Oleh kerana mereka telah ditempatkan di penjara sejak 2017, maka masih ada baki empat tahun sahaja untuk menyelesaikan tempoh pemenjaraan.

“Tempoh itu disingkatkan berdasarkan pertimbangan terhadap hukuman pemenjaraan yang mana tempoh itu dikurangkan satu per tiga daripada jumlah hukuman,” ujarnya.

Peguam tersebut ditemui wakil media selepas Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan rayuan terhadap keenam-enam bekas penuntut itu.

Selain Muhammad Afif, lima yang lain ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali (bersubahat).

Bekas penuntut yang kini berusia 29 tahun itu disabitkan menyebabkan kematian Zulfarhan di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi 22 Mei 2017.

Mengulas lanjut, Ramachelvam berkata, kesemua perayu insaf dan sangat malu dengan perbuatan sendiri sehingga menyebabkan kematian arwah lapan tahun lalu.

“Ini merupakan pengalaman pahit buat mereka, namun mereka menyesal dengan perkara yang berlaku ketika usia muda,” ujarnya.

Selain itu beliau berkata, kedua-ibu bapa anak guamnya telah memohon maaf kepada keluarga Zulfarhan di atas perkara terbabit.

Beliau memohon semua pihak memberi mereka peluang untuk memulakan kehidupan baharu dan menyumbang kepada masyarakat.

Sementara itu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili dua daripada enam tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi dan Muhammad Azamuddin berkata, dalam kes tersebut tiada pihak yang menang atau kalah kerana Zulfarhan sudah meninggal dunia.

“Mereka sudah hilang masa depan dan sedang menjalani hukuman,” katanya.

Ketika menjelaskan keputusan mahkamah, Amer Hamzah berkata, panel hakim bersetuju dengan hujahan pembelaan bahawa elemen membunuh tidak dapat dibuktikan melampaui tahap keraguan munasabah.

Ujarnya, berdasarkan keterangan pakar, adalah tidak selamat untuk mensabitkan mereka atas tuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita harap dengan keputusan ini menjadi satu penutup kepada episod malang yang telah berlaku,” katanya.

Pada prosiding rayuan, pasukan pembelaan turut diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Hazman Ahmad dan Datuk Zamri Idros manakala Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai dan Solehah Noratikah Ismail mewakili pihak pendakwaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here