FGV

KUALA LUMPUR- FGV Holdings Bhd menyasarkan untuk mencapai margin keuntungan yang lebih baik pada separuh pertama tahun 2025 susulan bekalan yang terhad dan permintaan tinggi sempena musim perayaan yang dijangka mengekalkan harga minyak sawit mentah (MSM) pada paras tinggi, kata Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Fakhrunniam Othman.

Beliau berkata harga MSM dijangka berada dalam lingkungan RM4,300 hingga RM4,600 setiap tan.

“Permintaan juga disokong oleh musim perayaan seperti Ramadan, diikuti sambutan Hari Raya,” katanya kepada pemberita semasa Pengumuman Keputusan Kewangan FGV 2024 hari ini.

Fakhrunniam berkata kenaikan harga MSM turut didorong oleh musim pengeluaran tandan buah segar (TBS) yang lebih rendah, mandat biodiesel Indonesia, dan bekalan minyak sayuran yang semakin terhad.

Ketua Pegawai Kewangan kumpulan Datuk Mohd Hairul Abdul Hamid berkata pengeluaran rendah pada Januari dan Februari, dengan beberapa kawasan dilanda banjir menjelang akhir tahun lepas yang berlanjutan ke awal tahun ini, terutamanya di Sabah dan sebahagian Pahang.

“Ia sedikit sebanyak menjejaskan produktiviti kami, dan menghalang kami daripada menuai buah sawit di pokok,” katanya.

Sementara itu, bagi pengeluaran TBS Mohd Hairul menjangkakan pengeluaran FGV akan meningkat lima hingga lapan peratus pada 2025 berbanding tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan harga MSM akan turun sedikit pada separuh kedua 2025, kepada sekitar RM3,800 hingga RM4,000 setiap tan, disebabkan peningkatan pengeluaran.

Mengenai kebimbangan harga MSM yang lebih tinggi berbanding minyak soya, Mohd Hairul berkata pembeli mungkin cenderung beralih kepada minyak soya sebagai pilihan bahan mentah yang lebih berpatutan.

“Terdapat sedikit peralihan kepada minyak soya, terutamanya dari kawasan empat musim seperti utara India. Namun, kami percaya peralihan ini akan membantu menstabilkan bekalan dan permintaan pada harga,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here