KUALA LUMPUR – Kerajaan dinasihatkan agar tidak terburu-buru melaksanakan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUUPSB) kerana ia boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk berpendapatan rendah di kawasan bandar.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Chai Ko Thing berkata, RUU itu sememangnya telah mencetuskan pelbagai kontroversi, terutamanya berkaitan isu pemindahan penduduk, ketidaksamaan sosial serta konflik antara pemeliharaan tradisi dan pemodenan.
Justeru katanya, Gerakan mencadangkan pelan pembaharuan bandar yang melibatkan pemindahan dan pembinaan semula berskala besar kepada kehidupan penduduk sedia ada serta memperkukuh mekanisme penyertaan yang dapat memainkan peranan lebih besar dalam proses membuat keputusan.
“Ia juga perlu melibatkan sesi townhall supaya penduduk memahami perancangan dan kesannya dengan lebih mendalam. Ini boleh membantu mencapai kata sepakat antara kerajaan dan penduduk,” katanya dalam kenyataan.
Ko Thing berkata, dalam proses pembaharuan bandar, golongan berpendapatan rendah sering terkesan dan disebabkan itu, kerajaan perlu melaksanakan langkah perlindungan yang sesuai seperti menyediakan klausa-klausa wajib perumahan ganti dan membina lebih banyak unit kediaman yang berpatutan dalam mukim sama.
Di samping itu katanya, kerajaan juga harus menggubal dasar kawalan sewa yang munasabah bagi mengelakkan ketidakseimbangan sosial serta peningkatan jurang antara golongan kaya dan miskin akibat proses pembaharuan bandar.
“Kuala Lumpur kaya dengan warisan sejarah dan budaya serta sebarang pembaharuan bandar perlu mengambil kira kepentingan memelihara bangunan bersejarah sambil memenuhi keperluan pemodenan.
“Langkah yang perlu diambil termasuk menetapkan garis panduan yang jelas bagi pemuliharaan atau pemulihan bangunan bernilai sejarah, mengelakkan tindakan meroboh secara berlebihan serta mengintegrasikan elemen budaya tradisional dalam pembangunan baharu bagi mengekalkan identiti unik bandar ini,” ujarnya.
Katanya, pelan pembaharuan bandar harus mengutamakan alam sekitar dengan menggalakkan pembangunan hijau dan mampan.
Dengan memberikan contoh Ko Thing memberitahu, kerajaan boleh menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan kecekapan tenaga dalam bangunan serta menyediakan lebih banyak kawasan hijau awam dan kemudahan rekreasi.
Selain itu jelas beliau, keperluan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) perlu diperketatkan bagi memastikan pembangunan baharu tidak memberi kesan negatif kepada ekosistem setempat.
Beliau menambah, dalam proses pembaharuan bandar, kerajaan perlu menubuhkan mekanisme pemantauan yang lebih cekap bagi mengelakkan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta memastikan semua pihak mendapat layanan yang adil, terutamanya rakyat.
“Akhirnya, Kerajaan juga perlu mendedahkan maklumat terperinci mengenai pelan pembaharuan kepada umum dan mewujudkan badan pemantau bebas bagi memastikan ketelusan serta keadilan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan projek,” kata beliau. – MalaysiaGazette