Antara gelagat pengunjung bersama sepanduk menghadiri Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Padang MBK, di sini malam tadi

KUANTAN – Objektif penyatuan rakyat dalam memartabatkan institusi Raja Berdaulat di negeri Pahang menerusi Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat, malam tadi dikatakan tidak tercapai sepenuhnya.

Menurut Tengku Ahmad Fareez Tengku Zulkifly, 34, penganjuran himpunan di Padang MBK itu sepatutnya boleh dipenuhi lagi dengan intipati penyebaran mesej penyatuan rakyat, bukan hanya sekadar ceramah sahaja.

“Saya memang bersemangat dan teruja untuk hadir semalam, terutamanya sebagai rakyat Pahang yang mempertahankan institusi beraja.

“Kelazimannya, yang dinamakan ‘himpunan’ ini bertujuan menyampaikan pesan, tapi himpunan semalam cuma mendengar ceramah khas. Sepatutnya, jangan dinamakan program itu ‘himpunan’, tapi program ceramah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tengku Ahmad Fareez Tengku Zulkifly (tengah) ketika menghadiri Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan semalam

Beliau yang juga merupakan salah seorang kerabat Diraja Negeri Pahang memberitahu, hadir ke program itu yang bermula di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini bersama ayah dan dua orang adik lelakinya.

“Benar, tuanku Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah ada bertitah sewaktu program di dalam Masjid Negeri. Tapi, bagi saya, pengisian program yang di Padang MBK sepatutnya perlu lebih lagi daripada sekadar ceramah,”jelas Tengku Ahmad Fareez.

Sementara itu, Nur safiah hanani norhalizan, 21 pula memberitahu, teruja kerana dapat melihat sendiri Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah secara berdepan sewaktu program terbabit.

Dia yang merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta di sini berkata, dia hadir bersama abangnya ke program yang bermula pada jam 7 petang itu.

Nur Safiah Hanani Norhalizan

“Saya juga rasa kagum sebab dapat melihat para pemimpin, wakil rakyat negeri ini yang mengenepikan fahaman politik masing-masing dan hadir bersama-sama di program itu.

“Lagipun sempena bulan Ramadan yang akan tiba ni, baik sama-sama eratkan ukhuwah. Baguslah. Jangan gaduh-gaduh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pandangan sama juga dikongsi Khairunnisa Amrina Azlan, 23, yang memberitahu ia merupakan pengalaman pertama kali menyertai perhimpunan beramai-ramai seperti itu.

Khairunnisa Amrina Azlan

Katanya, sejurus habis waktu bekerja, dia mengambil keputusan untuk hadir kerana teruja apabila mengetahui keberangkatan Sultan Pahang ke program berkenaan.

“Intipati program juga bagi saya baik. Sebab mengeratkan silaturrahim semua yang hadir. Lebih-lebih lagi dah nak masuk bulan Ramadan kan. Ia program yang bagus lah,” kata Khairunnisa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast