Gambar hiasan

KUALA KANGSARp Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menjalankan siasatan terhadap beberapa pempengaruh kerana disyaki mencipta kandungan yang menyimpang daripada ajaran Islam di media sosial.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata siasatan berkenaan bagi mengumpul maklumat untuk mencegah berlakunya kekeliruan dalam masyarakat membabitkan hal keagamaan.

“Ramai (pempengaruh) telah dikenal pasti dan dipanggil kerana disyaki menyimpang jauh ataupun sesat. Cuma, kita tak buat liputan meluas, namun semua itu ada dalam pemantauan di peringkat JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri.

“Kita seru umat Islam supaya berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan perkara ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI JAKIM di Kampung Menora bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Menora di sini hari ini.

Sirajuddin berkata pihaknya juga telah mewujudkan JAKIM Untuk Ummah (JUM), sebuah unit  berperanan dalam memberi kefahaman kepada umat Islam tentang pelbagai perkara melibatkan aspek keagamaan di media sosial.

“JUM ini kita wujudkan bagi menjelaskan sebarang isu yang menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat terutama membabitkan hal-hal sensitif,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Sirajuddin berkata program Pelancaran Kampung Angkat MADANI JAKIM itu bertujuan meningkatkan pembangunan dan penjanaan ekonomi setempat di Kampung Menora.

“Kita akan bawa program-program yang mampu meningkat penjanaan ekonomi di sini bagi menarik semula minat belia untuk pulang ke kampung dan menabur bakti di sini.

“Perbincangan bersama beberapa pihak termasuk jawatankuasa kampung bagi memastikan perkara ini dapat direalisasikan sekali gus menyahut seruan Perdana Menteri supaya menyantuni masyarakat hingga  peringkat akar umbi,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here