Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ucapan kepada pelajar selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Sekolah Sultan Alam Shah. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 FEBRUARI 2025

PUTRAJAYA – Pembangkang diingatkan tidak menyalahgunakan kebebasan untuk menganjurkan perhimpunan aman bertujuan bagi menipu rakyat dan memfitnah usaha kerajaan membangunkan semula kawasan miskin di bandar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pindaan Akta Pembangunan Semula Bandar (URA) dimanipulasi pembangkang dengan memomokkannya bakal merampas hak orang Melayu, sedangkan ia tidak berasas sama sekali.

“Isunya biarlah munasabah, ini isu pembangunan dan pemulihan bandar, kita nak tolong penduduk dan penghuni yang miskin, majoriti Melayu.

“Jadi kawasan itu kita nak bangunkan semula, dia nak bantah sebab apa? Ini hak Melayu, sejak bila kamu perjuangkan?

“Bila kamu perintah dulu, tak ada pun usaha membangunkan kawasan orang miskin, flat-flat lama termasuk orang Melayu di bandar, kita nak usahakan.

“Sebab itu saya nak bagi ingatan, jangan guna kebebasan ini untuk menipu dan memfitnah, apatah lagi atas nama Islam dan Melayu,” katanya kepada pemberita selepas menjamu selesa di Restoran Liga Maju, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ucapan kepada pelajar selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Sekolah Sultan Alam Shah. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 FEBRUARI 2025

Terdahulu Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat di Masjid Sekolah Sultan Alam Shah di Presint 1, di sini, tengah hari tadi.

Perdana Menteri juga sempat menyampaikan tazkirah kira-kira 10 minit kepada pelajar-pelajar Sekolah Sultan Alam Shah sempena sambutan Ramadan pada minggu depan dan menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun ini.

Terdahulu, Pemuda Pas bercadang untuk menganjurkan himpunan besar-besaran bagi membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang bakal dibentangkan di Parlimen.

Perdana Menteri juga mengingatkan penganjur perhimpunan aman agar memastikan tunjuk perasaan itu mematuhi undang-undang.

“Saya nak sebut di sini, satu hal penting sebab kita sekarang bagi perhimpunan aman ini bebas, tak ada banyak syarat.

“Tapi kena bantulah supaya membantu polis mengawal keselamatan, bagi notis yang awal,” katanya.

Selain itu, kata Perdana Menteri, bantahan itu dilakukan bukan kerana RUU URA memudaratkan orang Melayu, sebaliknya pembangkang cemburu dengan usaha kerajaan membantu rakyat termiskin di bandar.

“Kita nak bangunkan orang Melayu, kamu hanya dengki dan hasad. Sebenarnya penyakit mereka ini penyakit hasad dengki, tak boleh tengok orang senang, tak boleh tengok projek-projek yang baik.

“Sekarang ini umpamanya projek-projek, dia tak pernah pergi saya ingat belah-belah Kampung Kerinchi, Flat Sri Perlis dan sebagainya, itu terlalu daif,” katanya.

Kata Perdana Menteri, beliau nekad untuk memastikan RUU URA direalisasikan untuk mengelakkan orang-orang Melayu miskin bandar tidak tersisih dan menikmati pembangunan.

“Ini tanggungjawab kita, gunakan undang-undang ini untuk push laksanakan pembangunan semula,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here