ISTANBUL – Persekutuan Bolasepak Turkiye (TFF) menggantung pengendali Fenerbahce, Jose Mourinho sebanyak empat perlawanan dan didenda oleh kerana mengkritik pengadil selepas perlawanan di Galatasaray.
TFF mendenda pengendali berusia 62 tahun dari Portugal itu sebanyak 1,617,000 lira Turkiye (RM196,726) selepas dia mengkritik pengadil perlawanan ketika sidang akhbar susulan keputusan 0-0 dalam aksi Super Lig.
Menurut TFF, kenyataan Mourinho melanggar etika sukan, menggalakkan keganasan dan huru-hara serta mampu mencetus insiden dalam kalangan peminat.
Perlawanan pada Isnin lalu diadili oleh pengadil Slovenia, Slavko Vincic selepas kedua-dua kelab memohon pengadil luar mengambil alih aksi berkenaan.
Namun Fenerbahce mengeluarkan kenyataan mempertahankan Mourinho dengan mendakwa kenyataannya diambil luar konteks.
Bekas pengendali Chelsea, Manchester United dan Tottenham Hotspur itu sebelum ini pernah didenda dan digantung kerana mengkritik pengadil di Turkiye. – Agensi