KUALA LUMPUR – Setiap tahun setibanya bulan Ramadan, kemunculan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad pasti menjadi tumpuan oleh orang ramai khususnya umat Islam.
Mereka menantikan pengumuman beliau dalam mengisytiharkan tarikh permulaan puasa bagi tahun tersebut.
Ini kerana, setiap tahun Syed Danial akan memakai sepasang baju Melayu lengkap dengan warna yang berbeza-beza.
Tarikh melihat anak bulan Ramadan ialah pada petang ini bersamaan 29 Syaaban 1446 Hijrah.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia berkata, anak bulan Ramadan pada petang hari tersebut akan dilihat di 29 tempat.
Tempat-tempat tersebut ialah di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson; Baitul Hilal Bukit Melawati, Kuala Selangor; Baitul Hilal Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, Selangor; Baitul Hilal Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang; Stesen Cerapan Hilal Kampung Pulau Sayak , Kuala Muda, Kedah; Stesen Cerapan Hilal Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, Kedah; dan Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah.
Selain itu, Stesen Cerapan Hilal Bukit Besar, Kuala Terengganu; Stesen Cerapan Hilal Bukit Geliga, Kemaman; Stesen Cerapan Hilal Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu; Stesen Cerapan Hilal Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Kelantan; Stesen Cerapan Hilal Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai; dan Stesen Cerapan Hilal Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu, Kelantan.
Pusat Falak Miri, Esplanade Luak, Miri; Teluk Bandung, Kuching; Pusat Falak Bintulu, Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Tapak Cerapan Hilal Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Pahang; Stesen Cerapan Hilal Gunung Berincang, Cameron Highlands; Menara 188, Kuantan, Pahang; Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis, Perlis
Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan Tarikh Awal Ramadan adalah berdasarkan rukyah dan hisab. – MalaysiaGazette