Azri (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Melaka antara Md Nazri (kiri) kepada Dzulkhairi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini.

MELAKA – Seramai 16 pegawai polis dibuang kerja, manakala 114 lagi dikenakan tindakan tatatertib atas kesalahan lain sepanjang Januari lalu

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad berkata, tindakan buang kerja membabitkan empat pegawai kanan polis berpangkat inspektor manakala baki 12 lagi anggota berpangkat rendah.

“Kebanyakan yang dibuang itu terlibat dalam kes-kes narkotik sama ada memiliki atau mengambil dadah berdasarkan saringan ujian air kencing yang positif dan telah disabitkan bersalah di mahkamah.

“Mereka juga menjalani proses tatatertib yang mana selalunya berakhir dengan buang kerja,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Azri Ahmad

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Melaka antara pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi kepada Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

Dzulkhairi sebelum ini adalah Ketua Lesen Pasukan Urusetia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Bukit Aman.

Mengulas lanjut, Azri berkata selain dadah yang mencatatkan 10 kes, kesalahan lain adalah berkaitan integriti sebanyak empat kes serta masing-masing satu kes bagi kesalahan jenayah dan rasuah.

“Kesalahan dadah yang tinggi memerlukan tindakan dan perhatian khusus dari pihak PDRM untuk menangani ancaman ini secara efektif.

“PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perlanggaran dan salah laku oleh warga PDRM, memastikan ia kekal sebagai pasukan yang integriti dan dipercayai,” katanya.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar

Sementara itu Dzulkhairi berkata, tugasan pertama yang akan dilakukan adalah untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi Persekutuan untuk memastikan pelancong di Melaka berada dalam keadaan yang kondusif.

“Ini termasuklah tidak ada aduan kelancaran trafik dan paling penting adalah memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Tidak ada unsur ancaman jenayah dan sebagainya selain menurunkan ‘fear factor’ dalam kalangan pelancong walaupun kadar jenayah di Melaka ini sudah rendah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here