MELAKA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang mewujudkan Peraturan-Peraturan Polis (Kelakuan Dan Tatatertib) 2024 termasuk membolehkan proses membuang pegawai disabit kesalahan disegerakan bagi meningkatkan keyakinan masyarakat.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, cadangan itu adalah bagi menggantikan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 (PPPA (K&T) 1993) yang disifatkan terlalu umum dan kurang sesuai untuk digunakan oleh badan beruniform seperti PDRM.
Jelasnya, PDRM mempunyai keperluan operasi serta disiplin yang lebih ketat merangkumi pelbagai tatakelakuan serta prosiding tatatertib, termasuk tahan kerja dan gantung kerja, namun prosedur tahan kerja dalam (PPPA (K&T) 1993)
tidak selaras dengan keperluan khusus pasukan itu.
“PDRM dibekalkan dengan kuasa cukup besar jadi seharusnya kalau pegawai pols itu dia tidak layak berada dalam organisasi PDRM kita kena keluarkan segera.
“Tetapi kerana proses yang ada ini (dalam PPA) ia ambil masa jadi kita memikirkan (perlu) peraturan-peraturan polis sendiri di mana membolehkan tindakan segera dibuat.
“Orang kata ibarat sel kanser sel ini, kita dapat keluarkan segera dan bukanlah kita nak menganiaya tetapi kerana harapan masyarakat kepada PDRM amatlah tinggi,” katanya.

Azri (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Melaka antara Md Nazri (kiri) kepada Dzulkhairi di
Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Melaka antara pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi kepada Datuk Dzulkhairi Mukhtar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Azri berkata, pengurusan prosiding tatatertib akan lebih efisien dan efektif tanpa sebarang kelewatan serta menjejaskan prinsip Rules Of Natural Justice terutamanya prosiding tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat akan dapat dilaksanakan lebih cepat dan teratur.
“Dengan adanya Peraturan-Peraturan Polis (Kelakuan dan Tatatertib) ini, saya yakin tahap integriti dalam PDRM dapat diperkukuhkan secara menyeluruh,” katanya.
“Pematuhan yang tegas terhadap peraturan ini juga dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat serta memastikan setiap penugasan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan integriti,” tambahnya. – MalaysiaGazette