Timbalan Ketua Pengerusi Eksekutif (Operasi) PPZ-MAWIP, Mohammed Hassan berucap pada majlis Pelancaran Kempen Ramadan 2025 bertemakan 'Jiwa Memberi' di Bamboo Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 28 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini melancarkan Kempen Ramadan bagi tahun 2025/1446H.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnyza (Operasi), Mohammed Hassan berkata, kempen tersebut bertujuan menggalakkan lebih ramai umat Islam menunaikan zakat dan wakaf pada bulan Ramadan.

Katanya, dalam masa sama ia merupakan peluang menguar-uarkan perkhidmatan dan kemudahan saluran bayaran yang disediakan selain menghebahkan program-program menarik anjuran PPZ-MAIWP sepanjang bulan mulia yang bakal menjelang.

“Ramadan adalah bulan penyucian jiwa, jadi bertemakan Jiwa Memberi, sama-sama kita sucikan jiwa dengan memberi dan berkongsi dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan sebarang balasan, melainkan ganjaran daripada Allah SWT.

“Sekecil mana pun kebaikan yang kita lakukan, ia mampu membawa sinar kebahagiaan kepada orang lain dan kita sendiri akan rasa nikmatnya,” katanya ketika majlis pelancaran yang berlangsung di sebuah restoran, di sini, hari ini.

Menurutnya, melalui tema ‘Jiwa Memberi’ kempen kali ini, PPZ-MAIWP ingin menyemai budaya memberi secara ikhlas tanpa mengharap balasan.

Mengulas lanjut Mohamed berkata, PPZ-MAIWP berkolaborasi bersama beberapa rakan strategik antaranya Tudungruffle, Bright Cow dan Aplikasi iman pro demi menjayakan kempen ini.

Menariknya ujar beliau lagi, 1,000 pembayar wanita terawal yang membuat bayaran zakat harta serendah RM1,000 berpeluang menerima cenderahati eksklusif tudung.

Selain itu, menerusi kolaborasi Bright Cow, seramai 10,000 pembayar zakat terawal bakal menerima kit Ramadan.

Antara program khas sepanjang Ramadan 2025 yang dianjurkan oleh PPZ-MAIWP adalah Program Turun Padang, Program 1 Hari 1 Ilmu, Drama pendek Ramadan selama 5 episod pada setiap Rabu, Ramadan Rewards dan banyak lagi.

Pada majlis yang sama beliau menjelaskan, kadar bayaran zakat fitrah tahun ini seperti yang diputuskan kerajaan iaitu  RM7, RM15 dan RM22.

“Bayaran zakat fitrah boleh dibuat di mana-mana Kaunter PPZ-MAIWP atau   secara online di fitrah.zakat.com.my. Pembayar juga boleh membayar melalui 969 amil fitrah yang dilantik oleh PPZ-MAIWP,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast