GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Gabungan eHailing Malaysia (GEM) menggesa kerajaan tidak tunduk kepada tekanan daripada syarikat-syarikat utama dalam industri ekonomi gig supaya draf Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig diperhalusi.

Ketua Aktivis GEM, Jose Rizal berkata, kerajaan perlu bertegas untuk meneruskan RUU itu dengan berpaksikan kepada pekerja-pekerja ekonomi gig, bukannya syarikat yang hanya mementingkan keuntungan.

Jelas beliau, pekerja ekonomi gig bukan ‘hamba korporat’ atau sekadar rakan kongsi seperti yang sering dinyatakan syarikat-syarikat ekonomi gig, sebaliknya mereka menyumbang kepada ekonomi negara, sekali gus berhak mendapat perlindungan yang adil.

“Gesaan syarikat-syarikat ekonomi gig supaya RUU Pekerja Gig diperhalusi bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

“Selama ini, syarikat-syarikat ini sentiasa mencari jalan untuk melambatkan sebarang usaha yang bertujuan melindungi pekerja gig kerana mereka mahu terus mengaut keuntungan besar tanpa sebarang tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Jose, pihaknya turut menilai tindakan syarikat-syarikat ekonomi gig itu sebagai taktik lapuk untuk mengekalkan status quo iaitu sistem yang selama ini menindas pekerja gig dengan mengelak memberikan perlindungan asas seperti jaminan sosial, insurans pekerjaan dan hak-hak pekerja yang sepatutnya.

“Kami tidak akan berdiam diri, jika syarikat-syarikat ini mahu menghalang hak pekerja gig, kami akan terus berjuang dan memastikann suara pekerja gigi didengari.

“Cukuplah mereka menekan pekerja gig selama ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, lapan syarikat utama dalam industri ekonomi gig termasuk Bolt, FastGig, foodpanda, GoGet, Grab, Halo Delivery, Kiddocare, Lalamove dan ShopeeFood menggesa kerajaan supaya memperhalusi draf RUU Pekerja Gig sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

Dalam kenyataan bersama, mereka menyatakan kebimbangan terhadap beberapa aspek dalam RUU itu antaranya penetapan piawaian minimum industri secara sehala yang berisiko mengekang inovasi dan persaingan, sekali gus meningkatkan kos perkhidmatan kepada pengguna.

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dijangka membentangkan RUU Pekerja Gig itu di Parlimen bulan depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here