KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan 2025 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 24 Februari lalu tidak akan menjejaskan nasib kakitangan atau penjawat awam yang berkhidmat di Parlimen.
Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, melalui RUU itu, perkhidmatan di Parlimen akan menyaksikan pengasingan kuasa secara demokratik dengan memastikan Parlimen berkuasa ke atas hal ehwal sendiri.
Katanya, pemisahan itu akan dilaksanakan di bawah Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) dan pentadbiran awam yang akan diterajui oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara selaku pengerusi bersama.
Ia turut dibantu empat Timbalan Yang Dipertua manakala pentadbir awam diketuai Ketua Pentadbir dan penjawat awam daripada perkhidmatan induk iaitu kementerian atau jabatan tertentu.
“Jika RUU ini diluluskan kelak, kakitangan di Parlimen tidak akan diberhentikan, sebaliknya mereka diberi pilihan sama ada ingin kekal di sini (Parlimen) atau balik berkhidmat di jabatan mahu pun di kementerian asal mereka malah pencen mereka juga tidak terjejas di bawah akta ini.
“Mengenai kakitangan (Parlimen) pula diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) maka kita perlu terima siapa juga yang pihak kerajaan atau eksekutif hantar bermula daripada setiausaha dewan hingga kepada seluruh jentera (pentadbiran Parlimen) itu diisi oleh pihak eksekutif, walaupun secara kontrak atau pun lain-lain.
“Dengan wujudnya PSA (RUU) ini, kita akan menyaksikan… ini saya nak betulkan pemikiran kawan-kawan (dalam kalangan Ahli Parlimen) bahawa kebebasan yang kita maksudkan di sini adalah kita laksanakan hibrid, maksudnya dalam kompleks ini.
“Jadi akan berlaku perpisahan atau dikotomi melibatkan kakitangan dalam dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara), termasuk setiausahanya dan beberapa kakitangan khususnya untuk kendalian dewan.
“Dan mereka ini perlulah (dalam kalangan) profesional, mempunyai pengalaman yang dalam dan luas berkait pengurusan hal ehwal (Dewan Rakyat dan Dewan Negara).
“Manakala di luar dewan di kompleks (Parlimen) ini adalah tanggungjawab pentadbir awam oleh Ketua Pentadbir membabitkan keselaman dan lain urusan,” katanya dalam sidang media khas di Parlimen hari ini.
Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan, mempersoalkan RUU tersebut dengan mendakwa ia bukan ibu segala reformasi seperti diperkatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Ahli Parlimen Larut itu turut mendakwa sebanyak 70 peratus kakitangan Parlimen tidak bersetuju kerana dalam kalangan mereka ada yang bimbang tidak berpeluang dinaiki pangkat dan faedah perkhidmatan.
Sementara itu berkaitan urusan lantikan Setiausaha Dewan Rakyat dan Dewan Negara jika RUU itu diluluskan kelak, Johari memaklumkan ia bukan dilantik dengan sewenang-wenangnya kerana memerlukan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Pengurusan dalaman itu akan turut diuruskan oleh MPP dan dengan wujudnya majlis ini, setiausaha kedua-dua dewan mempunyai tanggungjawab terus kepada Speaker dan ia bebas daripada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam).
“MPP boleh lantik sesiapa juga (kendalikan dewan) yang merasakan layak untuk jadi setiausaha dan dalam undang-undang…Istilahnya ialah perlu mendapatkan persetujuan Yang di-Pertuan Agong.
“Walaupun kita ada cadangkan tapi tidak sewenang-wenangnya terus lantik (setiausaha) tapi kena dapatkan perkenan Agong. Maknanya kedudukan Setiausaha sekarang ini menjadi satu kedudukan yang tinggi dan mesti dapat perkenan Agong sekarang yang tidak berlaku sedemikian.
“Ketika ini, dia (penjawat awam) boleh pergi dan datang malah sesiapa juga boleh mengambil tempat itu. Bagaimanapun, saya berharap sangat 222 ahli parlimen dapat menyokong( RUU) yang dapat memberi kesedaran bahawa kita sekarang ini (ingin) ada kebebasan tidak lagi terikat di bawah JPM dan eksekutif, ” katanya.
Tambah Johari, Parlimen Malaysia dan kerajaan telah memperkenalkan model hibrid dalam pentadbiran dan pengurusan secara keseluruhan di Parlimen Malaysia bagi memastikan keseimbangan antara kepakaran khusus dalam pengurusan Parlimen dan kecekapan pentadbiran serta operasi.
“Bagi menangani kebimbangan ini, model hibrid yang diperkenalkan telah membolehkan pentadbiran dan kewangan Parlimen Malaysia terus dikendalikan oleh Pegawai Perkhidmatan Awam, sementara pengurusan Dewan Negara dan Dewan Rakyat termasuk hal-ehwal urusan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) dikendalikan oleh anggota Perkhidmatan Parlimen yang merupakan satu perkhidmatan yang berasingan.
“Pendekatan ini bukan sahaja memastikan kelangsungan kepakaran khusus dalam pengurusan sesi Parlimen, tetapi juga mengekalkan kelancaran operasi melalui pengalaman Pegawai Perkhidmatan Awam. Pada masa yang sama, ia membuka laluan kerjaya yang lebih fleksibel kepada pegawai yang ingin berkhidmat di Parlimen secara tetap atau sementara (secara peminjaman),” jelasnya.
Ujar beliau lagi, bagi merealisasikan pelaksanaan RUU itu satu Kumpulan Nukleus akan ditubuhkan bagi menyelaras pelaksanaan baharu ini yang diberi jangkamasa tidak melebihi 24 bulan untuk penyelarasan pelaksanaan ini. – MalaysiaGazette