Seorang pekerja kilang maut selepas terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Persiaran Jenjarum Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada malam Khamis.

HULU SELANGOR – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dan terbabas di tengah jalan raya sebelum dilanggar motosikal lain di Jalan Persiaran Jenjarum Bukit Sentosa, di sini, malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superitenden Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai insiden itu kira-kira jam 9.30 malam.

“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku pada kira-kira jam 8.40 malam melibatkan seorang lelaki berusia 46 tahun itu dalam perjalanan dari tempat kerja di kilang UMW menghala balik ke rumah.

“Semasa sampai di persimpangan Persiaran Jenjarum, sebuah kereta tidak diketahui nombor pendaftarannya telah melintas secara tiba-tiba di hadapannya hingga menyebabkan motosikal Modenas yang ditunggangi mangsa hilang kawalan dan terbabas di tengah jalan raya.

“Penunggang yang terjatuh kemudiannya dilanggar oleh sebuah motosikal yang lain dipercayai jenis Yamaha Y15ZR,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Asri memberitahu, mangsa yang berbangsa Melayu itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penunggang motosikal tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.

“Post mortem akan dilakukan di Hospital Kuala Kubu Bharu bagi mendapatkan punca kematian,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan.

“Orang ramai boleh hubungi pegawai penyiasat iaitu Inspektor Khairul Salleh Abdull Rahman di talian 011-33293547,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here