Sultan Nazrin berkenan menerima menghadap Nga Kor Ming dan menzahirkan tahniah atas siri kejayaan dan kecemerlangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah menerima mengadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Istana Perak Changkat, di sini, petang semalam.

Dalam perjumpaan tersebut, Kor Ming membentangkan Kad Laporan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi tahun 2024 yang menggariskan siri kejayaan kementerian serta agensi-agensi di bawahnya.

Sultan Nazrin turut menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada menteri serta seluruh warga KPKT atas prestasi cemerlang dan kejayaan yang dicapai, termasuk mengungguli Anugerah Pembangunan Negara buat kali pertama.

“Tahniah atas kejayaan memenangi Anugerah Pembangunan Negara 2024,” maktub baginda.

Pada masa yang sama, Kor Ming mempersembahkan cenderamata yang disediakan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang melambangkan metamorfosis dan bermakna reformasi ke arah menjadi insan yang lebih baik.

Pada 2024, KPKT melaksanakan pelbagai projek untuk meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat termasuk membaik pulih 4,814 unit rumah serta membina 245 unit rumah baru bagi golongan berpendapatan rendah dengan peruntukan berjumlah RM 104.4 juta.

Selain itu, kementerian juga meluluskan pembinaan 7,243 unit MyKiosk di 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara dalam tempoh dua tahun bagi meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan ribuan usahawan mikro, kecil, dan sederhana.

Setakat Disember 2024, KPKT berjaya memulihkan 927 projek atau 112,747 unit perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM92.48 bilion dalam tempoh dua tahun melalui Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here