KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sembilan hari ini melancarkan Tabung Apartment Wakaf Negeri Sembilan yang merupakan sebahagian daripada projek pembangunan Bandar Wakaf Malaysia – Gaza.
Projek tersebut adalah satu inisiatif bersejarah yang akan menjadikan Malaysia negara pertama di ASEAN yang membangunkan sebuah bandar wakaf di Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, projek itu akan menjadi simbol utama solidariti Malaysia dalam usaha membantu rakyat Palestin dan dijangka menelan kos sekitar RM120 juta.
Katanya, tanah wakaf seluas 87 ekar di Gaza telah dipersetujui pada Februari 2023 dan kini menerima sokongan daripada wakaf bernilai RM40 juta.
“Pelancaran Tabung Apartment Wakaf Negeri Sembilan ini tidak hanya bertujuan untuk mengumpul dana, tetapi juga mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dan kemanusiaan antara Malaysia dan Palestin.
“Pembangunan ini juga seiring dengan agenda Malaysia MADANI yang memberi penekanan kepada keprihatinan terhadap isu global dan kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya program itu dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurut beliau, kerajaan Negeri Sembilan akan turut melaksanakan kaedah pemotongan gaji kepada penjawat awam Kerajaan Negeri Sembilan sebagai inisiatif tambahan kaedah pengumpulan sumbangan kepada Tabung Wakaf Apartment Negeri Sembilan bernilai RM 4,500,000.
Inisiatif itu katanya, akan diuruskan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan akan diserahkan kepada MAPIM Malaysia bagi memastikan pengurusan dan pelaksanaannya berjalan dengan lancar dan memenuhi tujuan murni untuk membantu rakyat Palestin.
Selain itu, projek berkenaan turut disokong oleh kerajaan negeri seperti Selangor dan Terengganu, yang juga bersetuju untuk menyertai inisiatif melalui pembinaan apartment wakaf, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas bagi kesejahteraan masyarakat di Gaza.
“Dengan penglibatan kerajaan negeri, agensi kerajaan serta sumbangan rakyat Malaysia, projek ini dijangka membawa manfaat yang besar kepada Gaza dan menjadi contoh global dalam pembangunan berasaskan wakaf,” ujarnya.
Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak akan melibatkan pembangunan 14 blok apartment wakaf yang mewakili setiap negeri di Malaysia, termasuk Negeri Sembilan.
Selain itu, projek berkenaan akan membina kemudahan utama seperti masjid, sekolah, klinik kesihatan, taman rekreasi, dan menara tangki air.- MalaysiaGazette