KUALA LUMPUR – TH Plantations Berhad (THP) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM160.42 juta bagi tahun kewangan 2024, jumlah tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
THP turut merekodkan pendapatan berjumlah RM877.73 juta, kedua tertinggi dalam dekad ini, disokong oleh peningkatan jualan minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit (PK) serta harga purata jualan produk minyak sawit yang lebih kukuh.
Pengerusi, Datuk Dr. Ahmad Kushairi Din berkata, mengiktiraf pencapaian itui, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen sebanyak 3 sen sesaham, peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, ia sekaligus mengukuhkan komitmen THP dalam memberikan nilai kepada pemegang saham.
“Keputusan kewangan cemerlang THP bagi tahun kewangan 2024 mencerminkan keberkesanan operasi kami yang selari dengan pelan strategik perniagaan THP.”
“Margin USC Kumpulan bagi tahun kewangan 2024 meningkat sebanyak 60 peratus, sementara Pendapatan Sesaham (EPS) meningkat dua kali ganda kepada 6.47 sen daripada 3.29 sen, menunjukkan peningkatan keberuntungan yang ketara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Kushairi berkata, pada suku keempat tahun kewangan 2024, THP mencatatkan pendapatan sebanyak RM270.40 juta, peningkatan 24.9 peratus daripada RM216.50 juta bagi tempoh sama untuk tahun sebelumnya.
Katanya, prestasi kukuh dalam suku keempat disebabkan harga jualan yang lebih tinggi bagi CPO, PK dan tandan buah segar (FFB).
“Keputusan TK2024 mencerminkan kejayaan tahun pertama pelaksanaan Al-Falah 22/22, iaitu Pelan Strategik Perniagaan 5 Tahun THP (2024 – 2028).
“Pencapaian ini mengukuhkan hala tuju pertumbuhan jangka panjang THP, didorong oleh penambahbaikan operasi yang berterusan serta pengurusan kos yang berdisiplin,” kata Ketua Pegawai Eksekutif THP, Mohamed Zainurin Mohamed Zain.
Katanya, sebagai perancangan masa depan, THP akan terus memberi tumpuan terhadap pemantapan kecekapan operasi, menangani cabaran pasaran dan mencipta nilai jangka panjang, dalam semangat Ukhwah.
“Usaha kolaboratif ke arah komitmen bersama, menuju kecemerlangan,” tambahnya. – MalaysiaGazette