KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan 60 peratus keuntungannya disalurkan kembali kepada rakyat susulan pengumuman prestasi kewangan yang kukuh dan mampan bagi tahun 2024.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata, keuntungan tersebut diagihkan melalui dividen kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Berhad (KNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji (LTH).
Menurut beliau, TNB ingin memastikan semua rakyat Malaysia termasuk pesara dan generasi akan datang mendapat manfaat daripada sektor tenaga yang stabil dan berfokus kepada masa hadapan.
“TNB terus memacu daya tahan ekonomi dan jaminan bekalan tenaga Malaysia di mana lebih penting lagi, kejayaan ini diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat.
“Komitmen kami melangkaui pembekalan elektrik untuk menerangi masa depan Malaysia. Sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bertanggungjawab, kami bukan sahaja
tertumpu kepada kelangsungan kewangan tetapi untuk memastikan kejayaan TNB
dipulangkan kepada negara melalui sokongan seperti dana pencen, pertumbuhan ekonomi dan akses tenaga yang lebih mampu milik untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Media Keputusan Kewangan Tahun 2024 di ibu pejabat TNB di Bangsar di sini hari ini.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Mengulas lanjut, Abdul Razak memberitahu, antara inisiatif lain yang dijalankan adalah Program Lampu Jalan Kampung yang dilancarkan pada tahun 2000 yang mana ia telah memanfaatkan penduduk luar bandar dengan pemasangan lebih 525,000 lampu jalan.
“Di bawah Fasa 11 bermula 2024, sebanyak 14,210 lampu LED cekap tenaga telah dipasang, dibiayai di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
“Peningkatan keselamatan dan kesalinghubungan di kampung-kampung terbabit telah menggalakkan aktiviti ekonomi dan memacu kemajuan negara yang dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNB menambah, syarikat utiliti nasional itu mengamalkan polisi keuntungan yang memastikan pendapatan syarikat dilaburkan semula ke dalam inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Malaysia.
Menurut Megat Jalaluddin, 60 peratus dividen TNB membawa pelbagai manfaat kepada rakyat di mana peranan TNB bukan sekadar membekalkan tenaga ke rumah dan perniagaan tetapi juga memacu kemajuan negara.
“Dividen yang diumumkan oleh TNB memberi manfaat kewangan secara langsung kepada
berjuta rakyat Malaysia melalui GLIC yang secara kolektif memegang lebih daripada 60 peratus saham TNB.
“Ini memberi jaringan keselamatan kewangan yang lebih besar kepada pesara dan
rakyat Malaysia, di samping menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara untuk jangka panjang,” katanya.
Tambah Megat Jalaluddin, TNB juga giat memperluaskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi impak nyata kepada rakyat Malaysia, merangkumi empat teras utama iaitu pendidikan, sukan, kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar.
“Inisiatif ini termasuk memperluaskan projek pembekalan elektrik (elektrifikasi) di kawasan luar bandar, menyediakan program latihan pendidikan dan kemahiran, serta membiayai projek lestari berasaskan komuniti,” katanya. – MalaysiaGazette