Gambar IPD Kuantan

KUANTAN – Seorang wanita warga emas maut setelah basikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta Perodua Axia di Jalan Kampung Jawa, Kuantan berhampiran Warung Che Pa pukul 10.20 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku ketika cuaca hujan renyai-renyai di jalan simpang empat di lokasi terbabit.

“Siasatan awal mendapati, kereta Perodua Axia dipandu lelaki berbangsa Cina berusia 70 tahun dari arah Kuantan menghala ke arah Kampung Jawa sedang bergerak lurus ketika tiba di tempat kejadian.

“Tiba-tiba sebuah basikal berwarna hitam dikayuh seorang wanita berbangsa Cina berusia 85 tahun telah melintas jalan dari kanan ke kiri jalan menyebabkan pemandu kereta itu terlanggar basikal itu,” katanya dalam kenyataan.

Berikutan itu, Wan Mohd Zahari berkata, mangsa, Chan Ah Mooi yang beralamat di Jalan Bukit Setongkol, di sini telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemandu kereta terbabit dilaporkan tidak mengalami kecederaan, hanya melaporkan kerosakan cermin sisi sebelah kanan dan bumper hadapan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast