KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Zaid Ibrahim menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dirangka dengan teruk serta tidak memberi sebarang gambaran berkenaan tujuan penggubalannya.
Beliau yang juga seorang peguam berkata, penelitian ke atas rangka RUU itu juga tidak menemukan aspek pemisahan kuasa antara Parlimen dan kerajaan seperti yang diuar-uarkan menerusi tujuan penggubalannya.
Sebaliknya, ujar beliau, apa yang didapati menerusi RUU itu hanyalah penyusunan semula kakitangan sedia ada kepada jawatan yang baharu.
“Tiada sebarang cadangan terhadap peningkatan dan pandangan kritis berhubung apa yang diperlukan oleh cabang perundangan kita.
“Tiada apa-apa yang menunjukkan bahawa kerajaan berminat untuk menyediakan rangka kerja berkanun yang mana kakitangan berkualiti akan diambil bekerja dengan gaji yang lebih baik di bawah perkhidmatan Parlimen di luar syarat perkhidmatan awam sedia ada.
“Tiada bukti bahawa ahli-ahli Majlis akan mementingkan profesionalisme yang berkualiti dalam mengambil kakitangan seperti setiausaha, pembantu tadbir dan kakitangan lain tanpa merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya menerusi laman sosial X beliau hari ini.
Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, usaha pindaan Perlembagaan Persekutuan dan penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 bagi memartabatkan institusi Parlimen dianggap sebagai langkah utama dalam memperkenalkan reformasi institusi yang komprehensif.
Melalui agenda reformasi institusi yang direncanakan kerajaan Madani itu, katanya, Perkhidmatan Parlimen akan mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia.
Secara tidak langsung, menurut Azalina, maksud separation of powers dalam konteks bidang kehakiman, eksekutif dan legislatif akan dapat ditafsirkan dengan lebih bebas.
RUU Perlembagaan (Pindaan 2025) dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat Isnin lalu, dan bacaan kali kedua dijangka dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Mac ini. – MalaysiaGazette