SHAH ALAM – Kerajaan bercadang untuk menggazetkan 10 kawasan di Kuala Lumpur sebagai Tapak Warisan Dunia dalam usaha untuk memelihara khazanah dan kepentingan orang Melayu di bandaraya itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, salah satunya adalah Bangunan Sultan Abdul Samad perlu dikekalkan dipelihara sebagai simbol kedaulatan Raja-Raja Melayu.
“Pagi tadi (semalam) kita minta Khazanah dan Bandaraya menerangkan 10 kawasan termasuk Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad, Keretapi Tanah Melayu (KTM) sampai ke Kwasa untuk jadikan seluruhnya Warisan Kuala Lumpur.
“Saya persembah Sultan Selangor, Bangunan Sultan Abdul Samad untuk dikekalkan sebagai Bandar Warisan Kesultanan Melayu yang agung suatu ketika dahulu,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Wanita, AMK dan Cabang Keadilan Selangor, di sini, malam tadi.
Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, selain mempertahankan kepentingan orang Melayu, kerajaan tidak akan meminggirkan bangsa dan kaum lain di kawasan bandar.
“Sebagai satu negara pelbagai kaum, kita akan pastikan ada kawasan-kawasan di mana dikembangkan, ditunjukkan penyertaan budaya Cina, India, Iban, Kadazan semua di situ,” katanya.
Katanya lagi, bagi merealisasikan usaha tersebut, beliau membayangkan untuk memperuntukan dana berjumlah RM1 bilion untuk memelihara Tapak Warisan Dunia di Kuala Lumpur.
“Kita kena ingat pertama kali dalam sejarah sepanjang tahun bermula dengan RM1 bilion awal duit Khazanah dikekalkan satu Warisan Kuala Lumpur atau Taman Warisan Terbesar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette