MELAKA – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menahan 94 lelaki termasuk tiga warga emas disyaki penagih dadah dalam Operasi Perdana yang dilaksanakan di tiga daerah di Melaka selama tiga hari bermula pada 24 Feb lepas.
Pengarah AADK Melaka Noor Azrimah Ahmad berkata kesemua mereka berumur 18 hingga 61 tahun itu ditahan dalam tempoh 6 pagi hingga 12 tengah malam sepanjang tiga hari operasi melibatkan 50 anggota dan pegawai AADK di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
Beliau berkata, tumpuan operasi berkenaan turut melibatkan kawasan berisiko tinggi di Melaka Tengah yang dikenal pasti terdapat aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang terbabit, dan dadah jenis opiat menjadi pilihan penagih di negeri berkenaan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak tiga warga emas berumur 61 ke atas ditahan di daerah Melaka Tengah dan mereka merupakan penagih tegar dan berulang.
“Pelbagai cabaran dihadapi anggota AADK apabila terdapat orang yang disyaki (OYDS) bertindak melarikan diri termasuk cuba merempuh anggota dengan motosikal, namun tiada sebarang kecederaan serius berlaku terhadap anggota terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua penagih dadah berkenaan ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut.
Katanya, antara objektif pelaksanaan operasi itu ialah menahan sebanyak mungkin OYDS untuk dirawat dan menjalani program pemulihan agar dapat menyumbang kepada persekitaran yang sihat bagi menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.
Noor Azrimah berkata, AADK akan terus melaksanakan beberapa siri operasi lagi bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di negeri itu.
Beliau berkata individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah boleh segera mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan secara sukarela di pejabat AADK di daerah berhampiran, dan hubungi talian hotline (1800-22-2235) atau layari portal i-Cari AADK untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah. – BERNAMA