Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan perwakilan ketika hadir pada Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, Wanita dan AMK Selangor, turut sama Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari di Hotel Concorde Shah Alam. Foto AIZAL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2025

SHAH ALAM – Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung 24 Mei ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, keputusan berkenaan dibuat dengan mengambil kira faktor kestabilan parti yang merupakan antara komponen menerajui Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Sebab itu, saya berpendirian kita harus terus menyusun kekuatan demi untuk pastikan Selangor jitu. Kalau Selangor sudah jitu dan padu, insya-Allah negeri lain juga akan jitu dan padu. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berdiri dengan sokongan 100 peratus kita semua tanpa ada belah bahagi.

“… demi memikir itu, saya yakin Perdana Menteri harus dapat sokongan terus daripada Datuk Seri Rafizi Ramli selaku Timbalan Presiden dan saya akan terus berdiri selaku Naib Presiden kerana kita kena jadi satu suara yang kuat dan padu untuk maju,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Selangor termasuk Wanita serta Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri di sini hari ini.

Mesyuarat itu disempurnakan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli, Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek, Ketua AMK Adam Adli dan Menteri Komunikasi merangkap Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata,  keputusan sama ada beliau akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR atau sebaliknya akan diputuskan hari ini dan akan diumumkan selepas pertemuan dengan Perdana Menteri.

Sementara itu, Rafizi dalam ucapannya mahu setiap ahli parti memainkan peranan mematahkan tohmahan yang dilemparkan pihak pembangkang kepada kerajaan, sekali gus memastikan setiap dasar atau inisiatif dapat dilaksanakan dengan lancar.

Beliau berkata PKR sebagai sebuah parti harus berada dalam keadaan ofensif berbanding defensif dengan memperbanyakkan kandungan digital bagi tujuan berkenaan.

“Gunakan semangat, tenaga dan kepakaran yang sama semasa musim pemilihan ini, gunakan momentum itu untuk terus turun ke padang, berbalik kepada strategi yang menjadi kekuatan kita iaitu ceramah, yang telah membawa kita ke Putrajaya ketika ini.

“Kenapa ceramah setiap minggu itu penting, kerana dari situ ada kandungan digital, jadi kalau kita nak bina gelombang, kita kena segera mulakan… jadi terus adakan ceramah sampai pilihan raya umum nanti,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here