KUALA LUMPUR- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia 8 tahun yang tersangkut dalam tempayan ketika sedang mandi.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (Operasi), Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kejadian berlaku di sebuah unit di Pangsapuri Saujana Damai, Klang, Selangor, malam tadi.
“Seramai tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 7.30 malam.
“Pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu tersangkut dalam sebuah tempayan ketika sedang mandi. Operasi dijalankan bagi menyelamatkan mangsa.
“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dalam tempoh tujuh minit,” katanya.
Menurut Ahmad Mukhlis, mangsa sudah pun diserahkan kepada ibu bapanya.- MalaysiaGazette