KUALA LUMPUR – Meskipun harga santan meningkat sejak tahun lalu, pengguna tetap membelinya kerana ia merupakan bahan asas dalam masakan, terutama menjelang Ramadan esok.
Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Datuk Keramat,di sini, hari ini, mendapati harga santan segar naik daripada RM7 sekilogram pada tahun lalu kepada RM8 sekilogram tahun ini.
Manakala bagi santan asli tanpa campuran air, harganya lebih tinggi, sekitar RM16 sekilogram.

Menurut peniaga santan, Amin Rasyidin, 40, kenaikan harga ini berpunca daripada bekalan kelapa yang berkurangan, bermula sejak hujung tahun lalu.
“Pelanggan selalu tanya kenapa harga naik. Saya terangkan harga dari pembekal naik.
“Dulu satu biji kelapa dalam lingkungan RM2.50 dan kini RM3.50, jadi semestinya ada yang merungut,” katanya.
Walaupun harga santan meningkat, ramai pengguna tetap berbelanja seperti biasa bagi memastikan persiapan Ramadan berjalan lancar.
“Waktu macam ni, ramai beli santan sebab nak buat persiapan puasa. Ada yang beli untuk buat juadah berbuka, ada juga yang dah mula simpan untuk raya.
“Kalau sehari biasa saya jual sekitar 200 hingga 300 biji kelapa, tapi bila Ramadan terutamanya menjelang Aidilfitri, boleh naik sampai 500 atau lebih,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Bagi pengguna pula, kenaikan harga bukan alasan untuk tidak membeli santan kerana ia bahan utama dalam banyak masakan tradisional.
Menurut Amin, bekalan setakat ini mencukupi sehingga menjelang Aidilfitri.

Seorang penjawat awam, Nurul Adlida Hussain, 45, berkata, santan adalah keperluan yang tidak boleh dielakkan, terutama bagi keluarga yang memasak sendiri di rumah.
“Memang terasa juga harga naik, tapi nak buat macam mana? Santan ni memang bahan asas dalam masakan.
“Setiap minggu saya tetap beli tiga paket untuk kegunaan keluarga,” katanya.
Beliau yang bekerja sepenuh masa berkata, santan segar lebih menjadi pilihan berbanding santan kotak kerana rasanya lebih enak.
“Saya lebih suka beli santan segar sebab lebih asli.
“Kalau guna santan kotak, rasanya tak sama, terutama bila buat gulai atau rendang,” tambahnya yang dilihat turut membeli banyak barangan basah yang lain untuk persiapan menghadapi Ramadan esok.
Bagi Nurul Adlida, Ramadan kali ini tetap akan disambut dengan semangat walaupun harga barang naik.
“Dulu mungkin kita tak terasa sangat, tapi sekarang semua barang naik harga.
“Cuma kita kena pandai urus belanja dan beli barang yang betul-betul penting,” ujarnya.

Sementara itu, seorang juruteknik, Mohd Zaid Zainal,39, yang jarang membeli santan segar mengakui harga bahan mentah itu meningkat.
“Saya memang jarang beli santan, tapi bila tiba musim puasa atau nak raya, mesti beli juga.
“Walaupun harga naik, tetap kena beli sebab bukan senang nak ganti dengan bahan lain,” katanya.
Beliau yang datang ke pasar untuk membeli santan bagi kegunaan keluarga itu berkata, walaupun terdapat pilihan seperti susu atau santan dalam tin, kebanyakan orang masih lebih suka menggunakan santan segar untuk memastikan rasa masakan lebih asli.
“Walaupun kenaikan harga santan dan barang basah lain memberi kesan kepada perbelanjaan, pengguna tetap akan membelinya kerana ia sebahagian daripada tradisi makanan Malaysia.
“Harga naik sikit-sikit tu biasa. Asalkan masih mampu beli dan makanan yang dimasak untuk keluarga berkualiti, itu lebih penting,” katanya yang cukup bersemangat untuk menyambut Ramadan esok.
Katanya, meskipun cabaran ekonomi terus dirasai, namun dia akan memastikan Ramadan disambut dengan meriah, terutama memastikan bahan-bahan terbaik disediakan untuk juadah berbuka dan sahur bagi keluarga. – MalaysiaGazette