JOHOR BAHRU – Kerajaan tidak perlu tergesa-gesa membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Kawasan Bandar (URA) sebelum rakyat memahaminya dengan jelas kesan pelaksanaannya nanti.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Johor Bahru, Zulkifli Bujang berkata, perkara itu penting supaya tidak ada masalah berbangkit pada kemudian hari selain memberi keadilan kepada semua pihak.
“Meskipun kerajaan telah menarik balik pembentangan RUU ini pada sidang kali ini, kita tetap berpendirian bahawa sesi libat urus atau townhall perlu diadakan terlebih dahulu.
“RUU sebegini tidak boleh dibentangkan secara tergesa-gesa tanpa mendengar suara pihak berkepentingan,” katanya kepada pemberita selepas program gotong-royong anjuran Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti (PKPDK) Tanjong Puteri di sini hari ini.
Zulkifli berkata, pihaknya tidak menolak pembangunan, tetapi perinciannya mesti jelas dan difahami oleh semua pihak agar tidak ada kumpulan yang terkesan secara tidak adil kelak.
Tambahan pula katanya, akta di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia ada boleh dipinda untuk menyesuaikan soal pembangunan semula bandar tanpa perlu mewujudkan Akta yang baharu.
“Kita mahu pembangunan yang adil, terancang, dan mengambil kira kepentingan semua pihak,” tegasnya yang juga Pengerusi PKPDK Tanjong Puteri.
Mengenai program tersebut, beliau berkata, PKPDK Tanjong Puteri menganjurkannya dengan kerjasama Ranhill SAJ Sdn Bhd (RSAJ).
“Sebagai Pengerusi PKPDK Tanjong Puteri, saya berasa amat bangga dan berterima kasih atas penglibatan RSAJ dalam menjayakan program ini. Komitmen mereka terhadap khidmat komuniti amat dihargai dan menjadi inspirasi kepada masyarakat setempat,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat RSAJ, Ahmad Asri Khalbi dalam ucapannya berkata, RSAJ sentiasa komited untuk meraikan dan menyokong inisiatif-inisiatif kemasyarakatan seperti itu.
“Program ini menyaksikan sukarelawan RSAJ bersama ahli PKPDK berganding bahu dalam mewarnakan mural, membersihkan kawasan, serta mencantikkan premis yang menjadi tempat pembelajaran bagi 50 anak-anak istimewa dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan ceria untuk anak-anak istimewa, tetapi juga mengeratkan hubungan antara organisasi, komuniti dan sektor korporat dalam usaha bersama membina masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif,” katanya. – MalaysiaGazette