Oleh: Dr. Salmiwati Othman
DUNIA semakin moden dan wanita semakin hampir seiring dengan lelaki, tetapi, kehidupan wanita masih dipengaruhi oleh persekitaran donimasi lelaki. Saban tahun, kita akan menyambut Hari Wanita Sedunia bagi meraikan kejayaan dan perubahan melibatkan agenda pemerkasaan wanita. Persoalanya, adakah pencapaian dan inisiatif tersebut sudah mencukupi untuk diraikan?
Dalam dunia yang semakin sedar akan pentingnya kesetaraan gender dan kepelbagaian, wanita muda muncul sebagai pemimpin yang membawa perubahan signifikan dalam pelbagai bidang. Mereka bukan sahaja memecahkan stereotaip tradisional tetapi juga mencipta landasan baharu untuk kepimpinan yang lebih inklusif dan berkesan. Rencana ini akan membincangkan arah dan aliran utama kepimpinan generasi wanita muda wanita pada masa kini.
Penyertaan kepimpinan generasi wanita muda di peringkat universiti Kemahiran kepimpinan mula diasah sejak di zaman persekolahan dan ia diteruskan sehingga ke
peringkat universiti. Di universiti, platform utama sebagai indikator penyertaan pemimpin muda wanita dalam aspek kepimpinan adalah melalui pilihanraya kampus.
Setiap universiti awam ataupun swasta perlu menganjurkan pilihanraya kampus untuk melaksanakan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar. Namun begitu, berdasarkan kepada keputusan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2024/2025 bagi universiti awam telah mencatatkan kadar penyertaan wanita sebagai calon masih berada pada tahap yang rendah.
Bilangan kemasukan pelajar wanita yang berada dalam universiti awam mencatatkan bilangan yang tinggi iaitu 118,112 berbanding pelajar lelaki 74,917 (Bilangan Kemasukan, Enrolmen dan Keluaran Pelajar mengikut Jantina berdasarkan Universiti Awam 2023). Oleh itu, universiti seharusnya tidak mempunyai masalah untuk menyediakan barisan pelapis pemimpin wanita untuk negara pada masa hadapan. Namun, agenda pemerkasaan wanita di peringkat akar umbi di universiti nampak agak sukar untuk direalisasikan dan memerlukan inisiatif berimpak agar bakat pemimpin wanita muda dapat diketengahkan.
Keperluan kepimpinan generasi wanita muda untuk negara
Tidak dinafikan, keperluan generasi pemimpin muda wanita sangat diperlukan oleh negara. Generasi muda wanita semakin aktif dalam arena politik dan gerakan sosial. Mereka tidak lagi hanya menjadi pengikut, tetapi tampil sebagai pemimpin yang membawa agenda progresif. Contohnya, ramai wanita muda telah memegang jawatan penting dalam kerajaan, parlimen, dan organisasi bukan kerajaan (NGO). Mereka membawa isu-isu seperti kesetaraan gender, pendidikan, kesihatan, hak asasi manusia dan diketengahkan ke dalam perbincangan awam.
Gerakan seperti #PERTIWI dan #JEIWA telah menunjukkan bagaimana wanita muda mampu menggerakkan perubahan global melalui kepimpinan yang berani dan berprinsip. Manakala, dalam bidang keusahawanan, pemimpin wanita muda juga cenderung dalam membawa perubahan dengan menawarkan program-program pemerkasaan ekonomi wanita, seperti akses kepada modal, latihan kemahiran, dan jaringan mentor.
Dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) yang sebelum ini didominasi oleh lelaki, kini, ia semakin diterokai oleh wanita muda. Mereka bukan sahaja menguasai bidang ini tetapi juga menggunakan teknologi untuk mencipta inovasi yang menyelesaikan masalah sosial.
Contohnya, ramai wanita muda terlibat dalam pembangunan aplikasi kesihatan, platform pendidikan, dan penyelesaian teknologi hijau. Kepimpinan mereka dalam bidang ini membuktikan bahawa wanita mampu menjadi pemain utama dalam revolusi digital.
Harapan generasi wanita muda
Walaupun terdapat kemajuan yang telah dicapai, namun, wanita muda masih menghadapi cabaran seperti diskriminasi, stereotaip, dan ketidakseimbangan gender. Pemimpin wanita muda ini terutama di universiti tidak gentar untuk menangani halangan tersebut. Majoriti wanita muda menggunakan platform sosial media seperti TikTok serta X untuk menyuarakan isu-isu gender dan menuntut perubahan sistemik.
Mereka juga berusaha untuk mencipta persekitaran yang lebih adil dan saksama untuk generasi wanita akan datang. Selain itu, pihak berkepentingan diharapkan dapat membuka minda serta memberi peluang yang saksama kepada wanita muda terutama mahasiswi dalam mencungkil bakat mereka terutama melibatkan kepimpinan.
Manakala, pelajar wanita di universiti perlu sensitif terhadap peranan yang dimainkan oleh rakan sekuliah mereka kerana wanita seringkali diberikan tugasan picisan serta hanya berperanan sebagai setiausaha atau bendahari dalam Majlis Tertinggi Mahasiswa atau Persatuan pelajar. Justeru, pelajar wanita perlu menyokong visi kepimpinan generasi muda wanita untuk mencipta dunia yang lebih adil serta perubahan yang lebih positif.
Penulis adalah Timbalan Pendaftar Pusat Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UiTM