PONTIAN – Kerja-kerja awalan bagi projek pembesaran Hospital Pontian sudah selesai dijalankan tahun lalu melibatkan kos kira-kira RM800,000.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, proses tersebut melibatkan kajian mengenal pasti tapak cadangan yang sesuai, penilaian kesesuaian tanah serta reka bentuk bangunan baharu.
“Tapak terbaru yang dicadangkan termasuk perobohan kuarters kakitangan sedia ada yang akan digantikan dengan sebuah blok baharu bersama blok bangunan hospital.
“Ini bermaksud terdapat dua blok bangunan baharu iaitu satu blok untuk kuarters kakitangan dan satu blok hospital yang akan menempatkan 100 buah katil,” katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka Parlimen Pontian di Dewan UMNO Pontian di sini hari ini.
Beliau mengulas perkembangan projek pembesaran Hospital Pontian yang pernah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2023, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM36.3 bilion untuk sektor kesihatan, termasuk kerja awalan menaik taraf 26 hospital, antaranya Hospital Pontian yang berusia hampir satu abad.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini dilaporkan berkata, projek pembinaan dua blok bangunan empat tingkat itu akan melibatkan pertambahan 150 katil hospital.
Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, beliau telah diberikan taklimat oleh Cawangan Kerja Kesihatan (CKK), Kementerian Kerja Raya (KKR) yang disampaikan oleh Ir Abu Bakar Abd. Aziz mengenai perkembangan projek berkenaan pada minggu lalu.
“Selain itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Suraini Ahmad, turut mengutuskan surat kepada saya mengenai perkembangan terkini Hospital Pontian,” tambahnya.
Beliau mengakui kemajuan projek itu agak perlahan dan berharap KKR serta KKM dapat mempercepatkannya kerana ia dinanti-nantikan oleh kira-kira 230,000 penduduk daerah Pontian.- MalaysiaGazette