Oleh: Dr Mohd Anuar Ramli, Muhammad Syafiq Mohd Fuad
KEDATANGAN bulan Ramadan saban tahun umpama tetamu yang membawa rahmat dan menjanjikan ganjaran yang luar biasa. Bulan Ramadan merupakan bulan yang sangat
istimewa kepada umat Islam kerana dalam bulan tersebut terdapat kewajipan berpuasa seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 183: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. Di dalam ayat tersebut, terdapat seruan kepada orang beriman untuk mengerjakan perintah Allah SWT untuk berpuasa di dalam bulan Ramadan.
Menurut Dr Jamal Abdul Aziz dalam makalahnya Asalib al-Nahwiyyah fi Ayat al-Siyam, terdapat tiga peringkat orang yang beriman. Peringkat iman yang pertama adalah orang yang mempunyai rasa getaran iman jika mendengar nama Allah dan dalam menyahut perintah agama. Ia berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Anfal, ayat 2: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”.
Oleh itu, jika seseorang yang mempunyai iman di peringkat pertama, mereka akan merasai getaran dan bersegera menyempurnakan perintah agama. Umpamanya, mereka akan menjaga solat apabila mendengar seruan azan dan mereka akan bersegera mengambil wuduk sebagai persediaan solat. Begitu juga dengan persiapan ketika menuju ke bulan Ramadan. Getaran iman akan mula dirasai oleh orang beriman apabila berada di bulan Rejab dan Syaaban. Mereka akan cuba untuk menyucikan diri dan bertaubat kepada Allah sebelum memasuki bulan Ramadan.
Peringkat iman yang kedua adalah mempersiapkan diri sebelum tiba masanya lagi. Umpamanya, mereka yang sebelum memasuki bulan Ramadan telah memperbaiki amalan
dan mengerjakan amalan sunat sebagai persediaan sebelum masuk ke bulan Ramadan. Hal tersebut berdasarkan keteladanan Nabi Muhammad SAW yang telah meningkatkan rutin berpuasa sunat pada bulan Syaaban seperti dalam sebuah hadis daripada Saidina Aisyah RA:”Baginda SAW biasanya berpuasa sehingga kami menyangka Baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Dan Baginda apabila berbuka, kami sangka baginda akan terus berbuka (tidak berpuasa terus). Dan aku tidak melihat Baginda menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat Baginda berpuasa (sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan pada Syaaban” (HR Bukhari dan Muslim). Ini adalah satu teladan yang kita patut dicontohi dalam kehidupan kita sebagai seorang yang beriman sebelum menyambut bulan Ramadan.
Peringkat iman yang ketiga ialah orang yang patuh perintah agama dan mengerjakan suruhan agama dengan komited pada waktunya. Mereka akan melaksanakan perintah yang wajib dan memperbanyakkan amalan sunat. Umpamanya ketika menyambut Ramadan, mereka akan mengerjakan puasa secara konsisten dan menambah amalan-amalan sunat.
Ini termasuklah mengerjakan solat sunat terawih, membaca al-Quran, bersedekah, berselawat dan menjamu orang berbuka puasa. Dengan itu, rebutlah peluang untuk menggandakan amalan baik dan hindarilah dosa serta maksiat setiap waktu khususnya di bulan Ramadan dan umumnya di bulan-bulan yang lain supaya kita akan menjadi orang beriman yang sentiasa bersedia untuk menuju kepada Allah SWT.
Selain itu, bulan Ramadan merupakan bulan yang istimewa kerana bulan tersebut dapat mengangkat darjat orang beriman dari peringkat rendah kepada peringkat yang lebih tinggi. Hal ini dapat menjadikan seseorang yang beriman itu sentiasa komited mengerjakan amalan kebaikan dan tidak melepaskan peluang dalam merebut ganjaran yang dijanjikan pada pada bulan Ramadan. Selari dengan itu, para ulama telah menganjurkan kepada umat Islam supaya bersungguh-sungguh dalam menyambut bulan Ramadan. Ia berdasarkan panduan sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW yang menjadi rutin harian baginda ketika memasuki bulan Ramadan. Pertama, meningkatkan dan menambahkan amalan solat selain daripada solat fardhu, iaitu solat-solat sunat yang lain seperti taubat, tahajjud dan tasbih.
Di samping itu, dianjurkan juga untuk memperbaiki kualiti solat seperti menambahkan rasa khusyuk dalam solat fardhu dan solat sunat. Kedua, memperbanyakkan interaksi dengan al-Quran seperti membaca al-Quran, tadabbur dan memahami makna-maknanya. Hal tersebut kerana ganjaran yang banyak telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada mereka yang membaca al-Quran. Ketiga, memperbanyakkan sedekah kepada golongan yang memerlukan. Ia termasuklah menjamu makan orang berbuka puasa.
Amalan bersedekah ini ditegaskan dalam sebuah hadis Nabi SAW:”Anas berkata: Wahai Rasulullah! Sedekah apa yang nilainya paling utama? Rasulllah menjawab: Sedekah di bulan Ramadan” (HR al-Tirmizi).
Dalam hadis lain menyebutkan tentang keperibadian Baginda sendiri yang paling banyak sedekah: “Rasulullah SAW adalah orang paling dermawan di antara manusia lainnya, dan ia semakin dermawan saat berada di bulan Ramadan." (HR al-Bukhari dan Muslim). Selain itu, umat Islam juga dianjurkan untuk mengamalkan pelbagai amalan kebaikan yang lain seperti berselawat dan berzikir, bagi merebut peluang ganjaran pahala yang dianugerahkan oleh Allah SWT.
Kesimpulannya, persiapan menyambut bulan Ramadan bukan sekadar mempersediakan kesihatan fizikal semata-mata, tetapi yang lebih utama adalah persediaan rohani dan mental. Dengan membersihkan diri, menjaga kesihatan diri, memperkukuh iman dan mempertingkatkan amal ibadah supaya kita dapat menyambut kehadiran bulan Ramadan dengan hati yang tenang dan penuh keikhlasan.
Lanjutan itu, bila tibanya Ramadan, umat Islam perlu meraikannya dengan penuh keimanan dan ketaqwaan di samping melaksanakan kewajipan berpuasa dengan sebaiknya serta menambah amalan-amalan sunat dengan maksima mungkin kerana apa yang jelas bahawa bulan Ramadan bukan sekadar bulan biasa, tetapi bulan untuk kita menambahkan amal ibadat dan memperbaiki amalan sebagai bekalan untuk ke akhirat kelak.
Dr Mohd Anuar adalah Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, manakala Muhammad Syafiq adalah mahasiswa Universiti al-Azhar.