GENEVA- Cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk membangunkan semula Semenanjung Gaza sebagai sebuah riviera mewah, tidak boleh diterima melainkan ia dibangunkan untuk didiami oleh penduduk Gaza sendiri, kata seorang menteri Palestin pada Jumaat.
“Pembangunan semula Gaza sebagai sebuah riviera adalah cadangan yang baik tetapi siapakah rakyat yang akan mendiami kawasan tersebut?” kata Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Palestin, Varsen Aghabekian.
Visi Trump untuk Gaza melibatkan pengambilan alih wilayah Palestin yang dijajah Israel dan menempatkan semula penduduk Palestin ke tempat lain.
Beliau kemudiannya merancang untuk mengubah kawasan yang dilanda perang itu menjadi sebuah riviera kepada “penduduk dunia.”
Aghabekian menegaskan, pemindahan penduduk Gaza ke tempat lain adalah “tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.”
“Biarlah ia menjadi sebuah riviera tetapi untuk rakyat Palestin yang telah lama menderita dan berhak melihat tempat mereka menjadi sebuah riviera, bukannya sebuah kawasan yang terkepung dan berbau kematian,” ujarnya lagi.
Aghabekian bercakap kepada Persatuan Wartawan PBB (ACANU) semasa lawatannya ke Geneva untuk berucap di Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
Beliau berkata, adalah “perkembangan semula jadi” sekiranya Pihak Berkuasa Palestin mengambil alih pentadbiran wilayah itu pada masa hadapan menggantikan Hamas.- AFP
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast