KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives diunjurkan lebih rendah minggu depan, menjejaki prestasi eksport yang perlahan, kata peniaga minyak sawit David Ng.
Bercakap kepada Bernama, katanya, kadar eksport yang lemah mungkin memberikan tekanan kepada harga MSM memandangkan peniaga melaksanakan pendekatan berhati-hati.
Syarikat penyelidik bebas AmSpec Agri Malaysia melaporkan eksport produk minyak sawit Malaysia menurun 8.5 peratus pada Februari kepada 1,009,634 tan daripada 1,103,496 tan pada Januari.
Penyelidik kargo Intertek Testing Services memaklumkan eksport berkurangan 11.0 peratus kepada 1,061,765 tan daripada 1,192,328 tan bulan lepas.
“Kami mengunjurkan harga bergerak antara RM4,450 dan RM4,700 minggu depan,” kata Ng.
Sementara itu, peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata kebanyakan penganalisis pada persidangan minyak sawit baru-baru ini menjangkakan harga terus menghadapi tekanan disebabkan aktiviti pengambilan untung.
“Bagaimanapun, permintaan dijangka kekal kukuh, terutamanya daripada negara-negara yang mempunyai majoriti umat Islam menjelang perayaan Aidilfitri,” katanya.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Mac 2025 rendah RM134 kepada RM4,729 satu tan, April 2025 merosot RM117 kepada RM4,645, dan Mei 2025 susut RM110 kepada RM4,554.
Kontrak Jun 2025 susut RM93 kepada RM4,455, Julai 2025 rendah RM77 kepada RM4,364 manakala Ogos 2025 berkurangan RM65 kepada RM4,302.
Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 348,129 lot berbanding 435,333 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka susut kepada 241,330 kontrak berbanding 243,818 kontrak.
Harga MSM fizikal untuk Mac Selatan menyusut RM100 kepada RM4,800 satu tan. – BERNAMA