Orang ramai serbu jualan rahmah di Karnival Mahabbah, Bertam Square Pulau Pinang bagi melakukan persiapan Ramadan esok

KEPALA BATAS – Program Jualan Rahmah di pekarangan Karnival Mahabbah di Bertam Square di sini, menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian sebagai persiapan menyambut Ramadan esok.

Rata-rata pengunjung didapati memenuhi kawasan berkenaan seawal jam 8.30 pagi bagi mendapatkan barangan asas yang lebih murah sekali gus menjimatkan perbelanjaan.

Antara barangan yang laris ialah ayam, minyak, beras, telur, susu, bawang dan pelbagai kelengkapan dapur yang lain.

Zuraida.

Menurut Zuraida Romli, 50, dia memilih untuk melakukan pembelian barang keperluan asas untuk Ramadan di jualan Rahmah berikutan harganya jauh lebih murah berbanding pasar raya.

“Kalau saya pergi pasar raya saya perlu berbelanja sehingga RM150 namun di sini saya jimat RM50 dengan pembelian barangan yang sama.

“Selain itu, di jualan Rahmah kita boleh dapat semua barangan keperluan asas seperti minyak masak, beras dan minyak paket bersubsidi,” katanya yang merupakan suri rumah.

Bagi Ikmal Hashim pula, jualan sebegini amat membantu keluarganya berjimat tambahan pula dengan situasi ekonomi tidak menentu ketika ini.

“Kami lapan sekeluarga termasuk enam anak yang semua di bangku sekolah semestinya memerlukan perbelanjaan yang tinggi jadi apabila ada jualan sebegini saya akan datang tambahan pula esok sudah nak mula berpuasa.

“Kami bukan orang senang, syukur kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan kita harus bijak merebut bantuan disediakan,” katanya.

Siti Nor Hisyam.

Sementara itu, Siti Nor Hisyam Abdullah, 44, dia bersama empat rakamnya mengambil peluang ke jualan Rahmah untuk membeli stok barangan keperluan sempena Ramadan.

“Kami empat-empat merupakan suri rumah dan selalunya kami ambil maklum mengenai program jualan Rahmah kerana ia sangat membantu menjimatkan perbelanjaan rumah.

“Kami harap lebih kerap jualan Rahmah dilakukan agar rakyat boleh menikmati pembelian barangan dengan lebih murah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here