SHAH ALAM – Cubaan pembangkang untuk “menunggang” isu adendum gagal apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua pihak agar menghormati undang-undang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebenarnya pembangkang sudah kehabisan modal politik untuk menyerang kerajaan hingga sanggup menjadi pembela kepada Datuk Seri Najib Razak.
“Malam tadi Alhamdulillah, kebijaksanaan Tuanku Sultan Pahang, maka acara dan tujuan mereka (Pas) nak tunggang adendum ini gagal.
“Tuanku Sultan minta kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menganjurkan majlis.
“Titah Tuanku Sultan menjelaskan, pertama jangan politikkan kehadiran Seri Paduka dan kedua adendum biar ikut proses undang-undang.
“Lingkup strategi Pas, akhirnya semua orang pulang,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita, AMK dan Cabang Keadilan Selangor, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga melahirkan rasa kesal apabila beliau menjadi mangsa keadaan dalam isu pemenjaraan bekas Perdana Menteri itu berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.
“Dia tak ada modal, gagah rupanya sekarang ini, pujuk-pujuk nak bela Datuk Seri Najib.
“Yang masa suruh geladah, tangkap dan rampas semua itu, Dr Mahathir Perdana Menteri; yang mula siasat dan dakwa, masa Muhyiddin jadi Perdana Menteri.
“Yang hukum Datuk Seri Najib masuk dalam penjara, Datuk Seri Ismail Sabri, tapi yang kena kutuk, aku pulak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette